KUALA LUMPUR: MCA hari ini menolak Himpunan Rakyat Bersatu yang dikatakan bersifat ‘anti Low Yat’, dijadualkan berlangsung di ibu negara tidak lama lagi. Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata perhimpunan itu yang tidak dikenal pasti penganjurnya, boleh menggugat ketenteraman dan keharmonian kaum di negara ini. “Ia boleh membawa kesan negatif kepada hubungan antara kaum yang telah terjalin,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Tahunan MCA Wilayah Persekutuan di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Wangsa Maju di sini. Bercakap kepada pemberita dalam bahasa Mandarin, beliau berkata: “Kita bimbang perhimpunan itu akan mengeruhkan perpaduan kaum. Bukan mudah untuk membinanya, tetapi dalam masa sehari, sekejap sahaja boleh runtuh. “Oleh itu kita mahu pihak berkuasa menyiasat mengenai perhimpunan berkenaan atas faktor-faktor keselamatan.” Media melaporkan Himpunan Rakyat Bersatu itu dijadual berlangsung pada 16 September dan 10 Oktober di Bukit Bintang dan Jalan Petaling. Perhimpunan itu diadakan sebagai tindak balas dan protes terhadap perhimpunan Bersih 4.0 yang dikatakan mengganggu perniagaan di kawasan tumpuan orang Melayu di ibu kota. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here