AKHIRNYA, telahan orang ramai mengenai himpunan anti kleptokrasi anjuran Pakatan Harapan (PH) semalam benar belaka. Sasaran awal penganjur untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 50,000 penyertaan meleset sama sekali dengan anggaran sebenar mengenai jumlah kehadiran semalam hanyalah sekitar 5,000 hingga 10,000 orang.

Ramai yang mulanya kurang yakin mengenai jumlah 50,000 yang disasarkan, lalu membuat anggaran yang lebih ‘realistik’ untuk melihat sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah itu hadir pada himpunan semalam. Tetapi ternyata tidak sampai satu per tiga daripada sasaran jumlah itu yang dicatatkan semalam. Bezanya umpama langit dengan bumi.

Apa maknanya? Mudah, ia hanya memperlihatkan kebanyakan rakyat sudah letih dengan himpunan-himpunan yang membuang masa seperti itu. Bukan susah pun untuk kita faham mengapa begitu sedikit sekali orang ramai yang ‘memeriahkan’ himpunan di Padang Timur, Petaling Jaya semalam.

Peristiwa Penting Semalam

Tatkala rata-rata rakyat menggunakan hari mereka untuk beriadah sempena Hari Sukan Negara (HSN) semalam, PH pula menggunakan kesempatan cuti hujung minggu untuk mengheret sebahagian penyokong mereka untuk ‘berkelah’ dan membuang masa sambil mendengar cacian dan maki hamun terhadap kepimpinan negara. Rakyat yang menyibukkan hari mereka dengan pelbagai program HSN di seluruh negara semalam tentulah lebih bijak dan mendapati hari mereka setidak-tidaknya berlalu dengan begitu produktif.

Kehadiran yang ‘mengecewakan’ semalam juga sebenarnya sudah boleh dijangka. Cuma bacaan politik penganjur agaknya begitu cetek. Mengadakan himpunan yang bermula lewat petang dan berakhir tengah malam bukan satu tindakan bijak dan strategik. Orang ramai tentunya tidak mahu membuang masa di malam minggu dengan aktiviti yang tidak memberi faedah kepada mereka, apatah lagi menyertai sebuah himpunan yang tidak jelas matlamatnya.

Semalam juga ada perlawanan penting Liga Perdana Inggeris antara Liverpool dengan Manchester United. Kalau pun ramai anak muda yang hadir pada himpunan semalam, kita yakin sebahagian mereka mungkin telah pun beransur pulang mencari lokasi terbaik untuk menonton perlawanan tersebut. Bola pun nampaknya lebih penting daripada himpunan pembangkang. Entah apa yang difikirkan penganjur apabila mereka memilih tarikh yang bertindih dengan HSN dan perlawanan besar tersebut.

Cuti Sekolah dan Perayaan Deepavali

Tambahan pula, semalam bermulanya cuti persekolahan selama seminggu. Ibu bapa yang cakna dan prihatin pastinya tidak akan mensia-siakan peluang yang ada untuk menghabiskan masa berkualiti bersama anak-anak. Maka pilihan yang lebih baik buat mereka semalam tentulah bukan ‘berkelah’ di Padang Timur.

Suasana suram di himpunan anti kleptokrasi semalam juga boleh dikaitkan dengan persiapan masyarakat Hindu untuk menyambut perayaan Deepavali pertengahan minggu depan. Masakan mereka mahu ‘mengorbankan’ masa mereka dengan menghadiri himpunan yang tidak diketahui hasil dan manfaatnya itu.

Faktor Cuaca

Apatah lagi keadaan cuaca yang panas terik semalam turut ‘membantu’ menghambarkan suasana yang telah pun suram. Hujan lebat yang turun sebelum itu turut membuatkan rumput di lokasi himpunan basah. Peserta yang hadir jelas tidak selesa dengan faktor tersebut dan memilih untuk mencari tempat berteduh dan redup yang jauh dari pentas utama. Keadaan ini sedikit sebanyak menampakkan bagaimana acara pada siangnya tidak mendapat sambutan dan sorakan daripada peserta yang hadir.

Istilah Asing Buat Rakyat

Salah Tun Mahathir dan rakan-rakannya juga. Bukannya mereka tidak tahu isu 1MDB sudah pun agak basi untuk diperkatakan lagi. Dan mengapa pula dipilih istilah ‘kleptokrasi’ sebagai slogan himpunan? Takkan mereka tidak nampak istilah itu sangat asing pada kebanyakan rakyat. Lalu untuk apa orang yang tidak faham mengenai istilah itu perlu turun pada himpunan semalam? Segalanya tampak serba tidak menjadi buat PH di bawah kepimpinan Mahathir. Benarlah, PH sebenarnya merindui sentuhan, kepimpinan dan aura Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI).

Himpunan Bertukar Sukaneka, Fun Fair

Himpunan yang sepatutnya satu bentuk demonstrasi aman oleh PH semalam akhirnya bertukar tidak ubah seperti ‘sukaneka’ pada siangnya dan karnival atau fun fair pada malamnya yang penuh dengan nyanyian daripada ucapan politik. Malah, sempat pula mereka menyambut hari lahir Presiden AMANAH, Mohamad Sabu di atas pentas.

Ucapan Pengerusi PH pula penuh dengan kata nista terhadap kepimpinan Dato’ Sri Najib seolah-olah kepimpinannya dahulu suci dan bersih. Mengalihkan segala tumpuan negatif terhadap Najib sememangnya sudah menjadi kepakarannya bagi menyembunyikan dan mengalihkan fokus terhadap kejelikan pemerintahannya selama lebih dua dekad sebelum ini. Malang sekali untuk melihat kepimpinan PH yang lain tampak begitu mudah dipermainkan.

Isyarat Kegagalan Pakatan?

Melihat kepada sambutan terhadap himpunan semalam, sesuailah kita simpulkan bahawa ianya menjadi satu petanda yang tidak baik kepada PH pimpinan Mahathir. Ketika bekas perdana menteri itu dan Penasihat DAP Lim Kit Siang gigih mendabik dada mendakwa merekalah juara rakyat, kehadiran awal mereka berdua pada program semalam ternyata masih lagi gagal menarik kehadiran orang ramai ke himpunan tersebut.

Menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang bakal menjengah beberapa bulan sahaja lagi, sambutan hambar pada himpunan semalam sewajarnya cukup untuk membuatkan pimpinan PH mula menekan butang panik. Apa tidaknya, selama ini mereka sangkakan perjuangan mereka mengenai kleptokrasi Najib begitu popular. Semalam, sangkaan itu rupa-rupanya hanyalah sebuah mitos.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here