Satu perkara paling penting dalam menentukan kemenangan mana-mana gabungan politik di Malaysia ialah kesepakatan yang kukuh dan mengurangkan perbalahan sesama anggota. Lebih penting tindakan saling menyalahkan atas apa-apa kesilapan yang berlaku perlu dihenti dengan cepat. Perbalahan dan saling menyalahkan ini hanya akan menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat dan memberikan kesan negatif kepada peluang sesebuah gabungan politik itu untuk mencapai kemenangan.

Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah gabungan politik tertua dan paling berpengalaman dalam negara sewajarnya tidak terjebak dalam kancah pergeseran sesama sendiri dalam ruang terbuka. Sebaliknya sebarang perselisihan faham dan perbezaan pandangan wajar diuruskan secara berhemah melalui saluran-saluran rasmi sedia ada.

Baru-baru ini berlaku isu hangat di mana Setiausa Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah melihat antara punca kekalahan BN di Selangor semasa pilihan raya umum ke-12 tahun 2008 antara lain ialah anugerah penyapu yang disampaikan oleh bekas Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo. Sikap menyalahkan pemimpin terdahulu secara terbuka bukan sikap sebenar yang perlu ditonjolkan BN pada masa sekarang.

Ini kerana pergeseran dalaman sebegini hanya menunjukkan BN juga dalam pergolakan dan tidak jauh bezanya dengan apa yang dialami oleh pakatan pembangkang. Malah lebih memburukkan keadaan ialah apabila Khir tampil dengan kenyataan mempertahankan dirinya dan mengkritik kenyataan yang dibuat Tengku Adnan.

Khir dalam dalam satu kenyataan di laman social Facebook rasminya menyifatkan BN perlu terbuka untuk mendengar kebenaran dan tidak hidup dalam kepura-puraan dalam menilai persepsi rakyat. Beliau melihat BN sekarang tidak berani untuk melaksanakan penilaian prestasi sebenar. Lebih menghangatkan keadaan apabila Khir menganggap kemenangan BN dalam pilihan raya kecil di kawasan Parlimen Sungai Besar baru-baru ini tidak boleh dijadikan ukuran kepada peningkatan sokongan rakyat terhadap BN di Selangor, malah Khir melihat BN kuat pada ketika ini bukan disebabkan kekuatan sebenar, tetapi kerana gabungan pembangkang sedang berdepan konflik dan perpecahan.

Khir turut menyatakan kebimbangan dengan situasi ini dan strategi BN jelas belum cukup ampuh untuk melawan pembangkang jika mereka berjaya bersatu kelak.

Apa yang dilontarkan oleh bekas Menteri Besar Selangor itu sebenarnya serangan secara halus terhadap BN apabila berlaku provokasi terhadap pentadbiran beliau sebelum ini. Perkara seperti ini harus diperhati dengan teliti oleh BN kerana hal-hal pergeseran dalaman boleh membawa kesan negatif berpanjangan jika tidak diselesaikan dengan baik.

Sehubungan itu, BN tidak wajar terlalu lama merenung kekalahan lalu dan mengeluarkan kenyataan menyalahkan sesama rakan. Apa yang paling penting kini ialah menggerakkan usaha dan strategi terbaik bagi memenangi hati rakyat dalam pilihan raya akan datang.

Merancang masa depan lebih baik berbanding hanya merenung kesilapan lalu. Cabaran politik juga sudah berubah dan memerlukan pelbagai pendekatan baru untuk mencapai kemenangan, justeru berhenti saling menyalah jika tidak mahu menjadi goncang seperti pihak lawan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here