SETELAH agak lama berdiam dan bersabar, semalam, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR Latheefa Koya akhirnya bersuara mengenai apa yang dilihat beliau sebagai belang sebenar Rafizi Ramli, Naib Presiden parti yang dipanggil ‘budak’ itu.

Dalam status peribadi yang dimuat naik di Facebook semalam, Latheefa mendedahkan bahawa betapa PKR sendiri sudah penat dan muak dengan tindak-tanduk Rafizi yang seolah-olah gila publisiti dengan seringkali mengeluarkan kenyataan di media arus perdana; satu langkah yang disifatkan sebagai pelanggaran disiplin parti secara terang-terangan.

Malah, liputan media ketika waktu puncak termasuklah yang dibuat oleh TV3 yang dibuat ke atas Rafizi dan kenyataan-kenyataannya dilihat membawa imej yang buruk terhadap PKR.

Dalam pendedahan yang dibuat semalam, Latheefa menggelar Rafizi sebagai penipu, sekaligus membuka mata rakyat mengenai siapa sebenarnya Ahli Parlimen Pandan itu dan kerosakan yang telah dibawanya terhadap PKR.

Rafizi sememangnya diketahui sebagai dalang yang merancang ‘Langkah Kajang’ pada 2014 dalam satu strategi PKR untuk menurunkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai menteri besar. Pada awalnya, langkah itu dirancang dengan meletakkan Ketua Umum PKR sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon setelah ADUN sebelumnya Lee Chin Cheh mengosongkan kerusinya pada 27 Januari 2014.

Langkah tersebut bertujuan menjadikan Anwar sebagai menteri besar menggantikan Khalid dalam satu rancangan memperkuatkan Pakatan Rakyat (PR) untuk menuju ke Putrajaya.

Walau bagaimanapun, strategi itu akhirnya tersekat di tengah jalan apabila Anwar disabitkan bersalah pada 7 Mac 2014 dan dihukum penjara selama lima tahun oleh Mahkamah Rayuan atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.

Sejak tarikh itu juga, rentak rancangan ‘Langkah Kajang’ sedikit berubah dengan isteri Anwar yang juga merupakan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dijadikan sebagai calon gantian.

Namun menurut Latheefa, ramai yang tidak tahu tujuan sebenar ‘Langkah Kajang’ yang direncana Rafizi bukanlah untuk menjadikan Anwar sebagai menteri besar. Sebaliknya, langkah itu dirancang Rafizi dengan tujuan menghalang Azmin Ali daripada mengisi kerusi tersebut. Selain merupakan Ahli Parlimen Gombak, Azmin juga merupakan ADUN Bukit Antarabangsa.

Justeru, tidak hairanlah mengapa hubungan antara Azmin dan Rafizi sememangnya dilihat tidak baik sehinggalah ke hari ini.

Helah Dan Tipu Daya Rafizi

Dalam usahanya merealisasikan ‘Langkah Kajang’ itu, Rafizi didakwa telah ‘memperdaya’ kepimpinan tertinggi PKR termasuklah Anwar. Rafizi meyakinkan Anwar bahawa DAP dan PAS kononnya sudah pun bersetuju dengan rancangan tersebut. Malah, pembantu Rafizi dikatakan telah ke Kelantan bagi medapatkan persetujuan dan restu Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Hakikatnya, PAS menentang keras rancangan itu dan Allahyarham Nik Aziz sendiri meminta bukti dan butiran lanjut mengenai keperluan melaksanakan ‘Kajang move’ tersebut, namun tidak pernah diberikan Rafizi.

Dalam ‘posting’ yang dibuat, jelas Latheefa begitu berang terhadap Rafizi yang suka memutarbelitkan fakta selain sikapnya yang suka menuding jari kepada pihak lain. Semalam, Rafizi mendakwa bahawa bekas pengerusi BERSIH 2.0 Ambiga Sreenevasan turut memainkan peranan dalam menurunkan Khalid sebagai menteri besar.

Dakwaan Rafizi ini jelas dilihat sebagai satu respon balas beliau terhadap kritikan Ambiga baru-baru ini mengenai perbalahan dalaman antara beliau dengan pemimpin-pemimpin PKR yang lain. Perbalahan yang sudah pun dikesan secara terbuka oleh rakyat ini hanya memperlihatkan kecelaruan dan kekeliruan yang menyelubungi PKR kini dalam persiapan mereka mempertahankan Selangor dan menghadapi pilihan raya umum (PRU) kelak.

PAS Sebagai Faktor

Kecelaruan yang mereka hadapi kini tidak lain dan tidak bukan tentunya berkisarkan tentang perbincangan antara PKR dengan PAS mengenai pembahagian kerusi bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru di Selangor.

Ketika Azmin dan pimpinan PKR lainnya berpendapat mereka tidak boleh mengambil risiko kehilangan undi Melayu dalam pertembungan tiga penjuru dengan PAS, nada Rafizi pula berlainan. Beliau nampaknya sudah melawan arus.

Ketika Anwar sendiri sudah menyatakan persetujuan mengenai perbincangan pembahagian kerusi dengan PAS, Rafizi terus menggesa PKR untuk komited dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan baru-baru ini yang menolak sebarang kerjasama dengan parti islam itu menjelang PRU yang akan datang.

Akhirnya, pekung sudah dibuka. Rafizi yang sebelum ini dilihat sesetengah pihak sebagai hero dan pelapis yang memiliki ketokohan mirip Anwar rupa-rupanya hanyalah tidak lebih daripada seorang yang sudah menjadi kanser di dalam parti. Pendedahan yang dibuat Latheefa membuktikan ‘Langkah Kajang’ yang dirancang Rafizi sebelum ini hanyalah satu daripada pelbagai agenda lain yang mempergunakan rakyat, membazirkan masa dan tenaga mereka demi mencapai matlamat politik yang sempit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here