SIAPAKAH sebenarnya insan bernama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman?

Adakah semua rakyat mengenali Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tersebut?

Terbaharu, Syed Saddiq mewujudkan persepsi dalam kalangan rakyat apabila mendakwa disogok hampir RM5 juta untuk meninggalkan PPBM.

Itulah kehebatan pemimpin pembangkang iaitu keupayaan mereka melakukan sandiwara politik.

Sandiwara yang dilakukan itu, kalau pun tidak mampu mempengaruhi, sekurang-kurangnya boleh mewujudkan persepsi dalam kalangan rakyat.

Adakah RM5 juta itu merupakan nilai yang kecil? Sudah tentu ianya merupakan nilai yang cukup besar.

Jadi, hebat sekali nilainya, baharu setahun jagung dalam politik Syed Saddiq sudah pun ‘berharga’ RM5 juta.

Siapakah individu yang membuat tawaran sedemikian terhadap Syed Saddiq?

Rakyat pastinya ingin mengetahui siapa individu yang membuat tawaran itu?

Apakah kelebihan Syed Saddiq sehingga dia ditawarkan sebanyak RM5 juta?

Jika ada, pastinya hanya individu berkenaan mengetahuinya kerana sanggup menawarkan jumlah wang yang begitu besar sekali.

Atau adakah Syed Saddiq hanya melakukan sandiwara dan gimik politik serta sengaja mencipta isu?

Anak muda itu pastinya tahu Pakatan Harapan sedang kelam kabut, idola utamanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad berusia 93 tahun sudah kehabisan mo­dal untuk ‘serang’ kerajaan dan memburuk-burukkan Barisan Nasional (BN).

Memandangkan pe­mimpin-pemimpin dalam ‘par­ti bunga’ semakin layu un­tuk mencetuskan isu, maka anak muda yang boleh dianggap bagaikan ‘bunga belum berkembang’ itu terpaksa ber­tindak dengan mengadakan si­dang akhbar dan membuat dakwaan yang meragukan.

Tidak kisahlah anak muda itu mahu atau tidak pergi menyambung pengajian ke Universiti Oxford.

Maklumlah universiti tersebut untuk orang yang betul-betul pandai dan mahu belajar, bukannya orang yang hanya pandai bercakap dan mahu main politik.

Tetapi apabila Syed Saddiq bercakap soal ada pihak mahu menyogok­nya diikuti pula dakwaan di­peras ugut, ia perlu dipandang serius.

Ini bukan bermaksud kita percaya apa yang Ketua Armada PPBM itu perkatakan tetapi satu tuduhan yang perlu dibuktikan oleh proses undang-undang.

Adakah rakyat percaya dengan dakwaan yang dikemukakan Syed Saddiq?

Syed Saddiq perlu segera membuktikan siapa yang membuat tawaran tersebut kepadanya dan kalau benar buatlah laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jika berani membuat dakwaan, Syed Saddiq perlu berani bertindak mengemukakan bukti dan membuat laporan kepada SPRM.

Jangan pula Syed Saddiq jadi seperti Rafizi Ramli yang hanya pandai membuat dakwaan tetapi langsung tiada bukti sahih.

Adakah Syed Saddiq sama seperti Rafizi?

Jadi, kepada Syed Saddiq, buktikan anda bukan Rafizi dan mempunyai bukti.

Sama-samalah kita tunggu. Jika tiada tindakan di­lakukan, maka pihak parti kerajaan perlu bertindak membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Tujuannya bukan sahaja ba­gi mencari kebenaran tetapi me­ngajar anak muda itu supaya jan­gan sesekali mengamalkan po­­litik fitnah dan bersandiwara akibat ketaksuban.

Dibimbangi akibat ke­tak­suban dan keghairahannya­ untuk menonjol diri, akhirnya boleh mendatangkan kemuda­ratan dan kerugian kepada diri sendiri.

Ayuh Syed Saddiq, rakyat kini menantikan bukti dakwaan anda.

Jangan jadi atau dilabel seperti kata anak-anak muda hari ini… sembang kencang!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here