ADELAIDE – Hazreel Hasmi memecah rekod akademik yang selama ini dikuasai pelajar perempuan apabila beliau muncul sebagai antara pemenang Anugerah Merdeka di sini.

Sepanjang lima tahun lepas, kesemua tiga anugerah tertinggi untuk pelajar Malaysia yang menuntut di beberapa universiti di Australia Selatan dimenangi pelajar perempuan.

Hazreel, yang mengikuti pengajian peringkat PhD dalam jurusan pelancongan dan liburan di University of South Australia, menang tempat kedua bagi anugerah tahun ini yang ditaja Majlis Perniagaan Malaysia-Australia, Australia Selatan.

Hazreel, 37, bekas pensyarah Kolej Komuniti Ulu Selangor, menerima hadiah berupa trofi dan wang A$1,000 (kira-kira RM2,980).

Hazreel berkata dia terhutang budi kepada ibu bapanya yang banyak memberi sokongan sepanjang dia mengikuti pengajian sejak beberapa tahun lepas hingga membolehkannya merangkul anugerah itu.

Anugerah utama berupa sebuah trofi, sebuah Apple Macbook 13 inci dan wang A$1,500 (kira-kira RM4,470) sumbangan bekas gabenor Australia Barat Sir Eric Neal, dimenangi Lee Jia Ying, 22, pelajar Ijazah Sarjana Muda Perdagangan (Perakaunan) di University of South Australia.

Bercakap kepada Bernama, Lee, yang mempunyai rekod cemerlang dalam bidang akademik, berkata dia terperanjat apabila dimaklumkan memenangi anugerah tahunan itu.

“Terdapat kira-kira 2,000 pelajar universiti dari Malaysia di Adelaide dan memenangi hadiah utama amat istimewa bagi saya,” katanya.

Tempat ketiga dimenangi Ismaniza Ismail, pelajar peringkat PhD dalam jurusan Kebersihan Pekerjaan dan Alam Sekitar di University of Adelaide.

Ismaniza pernah membentangkan hasil kerjanya pada persidangan antarabangsa dan antara perkara yang menjadi kegemaran pelajar ini ialah snorkeling dan meluaskan pergaulan.

Ketiga-tiga pemenang berasal dari Selangor.

Mereka menerima hadiah pada majlis makan malam gala yang turut dihadiri gabenor Australia Selatan kelahiran Vietnam, Hieu Van Le, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra, Datuk Zainal Abidin Ahmad serta isteri Datin Shireen Sulaiman, Menteri Perdagangan Australia Selatan Martin Hamilton-Smith dan Datuk Bandar Adelaide, Martin Haese.

Panel hakim bagi anugerah itu dianggotai tokoh terkenal Australia, Frances Nelson QC, Amanda Heyworth dan Bill Spurr.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here