TANAH MERAH 3 Sept. – Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd. Hatta Ramli menolak keputusan Ketua Hakim Syarie serta Menteri Besar Kelantan yang mengatakan telah jatuh talak tiga ekoran bai’ah yang pernah dibuat oleh beliau. “Saya mempunyai cukup alasan dan panduan untuk tidak mengambil pandangan mengenai bai’ah jatuh cerai talak tiga walaupun datang daripada seorang Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar ataupun Mufti Kelantan sekalipun,” katanya kepada pemberita selepas ceramah Parti Pekerja di Kampung Belimbing di sini malam tadi.

Beliau menyifatkan bai’ah cerai talak tiga yang pernah dilafazkan ketika bersama Pas sebelum ini terbatal dengan sendirinya kerana telah membayar kafarah iaitu memberi makan 10 orang anak yatim. Beliau turut mengesahkan akan meneruskan kehidupan seperti biasa bersama isterinya

Katanya, sebelum membuat keputusan keluar daripada Pas, beliau telah merujuk mengenai soal bai’ah itu dengan beberapa ulama di dalam serta luar negara selain mendapat pandangan daripada pelbagai pihak lain. Pada masa sama, beliau berkata, sesetengah ulama berpendapat, dalam Islam sebenarnya, tidak ada bai’ah sehingga menuntut bercerai talak tiga.

“Perkara itu (bai’ah talak tiga) telah dirujuk dengan beberapa ulama termasuk ulama Mesir, Sheikh Yusuf al-Qaradawi, Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Penasihat Parti Pekerja Malaysia (Parti Pekerja), Ahmad Awang.

“Saya dinasihatkan dan mendapat pandangan daripada Ahmad dan beberapa lagi mengenainya, tidak menjadi masalah, cukup sekadar kita bayar kafarah beri 10 orang (anak yatim) makan atau puasa tiga hari, itu memang sudah tercatat, uztaz-ustaz, ulama-ulama tahu perkara ini.

Semalam, Ketua Hakim Mahkamah Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad mengesahkan perkahwinan Mohd. Hatta dengan isterinya bercerai talak tiga kerana melanggar taklik yang pernah dilafazkan dalam bai’ah Pas negeri itu. Dalam bai’ah tersebut, setiap wakil rakyat Pas di ne­geri ini yang mengambil keputusan keluar parti tanpa meletakkan jawatan, secara automatik telah menceraikan isteri masing-masing dengan talak tiga.

Sementara itu menyentuh perkara sama ketika berucap sebelum itu, Mohd Hatta berkata, isu bai’ah cerai talak tiga sengaja ditimbulkan Pas negeri ini bagi menakut-nakutkan wakil rakyat parti itu supaya tidak memilih wadah perjuangan lain. – UTUSAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here