Pertemuan Najib-Trump

ESOK, YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dijadualkan akan bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald J. Trump dalam lawatan rasmi sulung beliau ke Rumah Putih. Delegasi perdana menteri yang berangkat pada hari ini antara lain turut disertai isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Luar YB Dato’ Sri Anifah Aman dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed.

Pertemuan bersejarah itu bakal mengambil tempat atas jemputan Trump sendiri sebagai menandakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Washington-Kuala Lumpur. Ianya juga dilihat sebagai satu bentuk penghargaan Trump ke atas Malaysia yang telah menjadi sebahagian daripada pasukan mencari dan menyelamat dalam insiden perlanggaran antara kapal pemusnah peluru berpandu USS John S McCain dengan sebuah kapal tangki minyak MV Alnic MC pada 21 Ogos yang lalu. Insiden yang berlaku di perairan timur Selat Melaka itu menyaksikan seramai 10 kelasi kapal itu maut.

Pertemuan Trump-Najib esok pada dasarnya sudah pasti bertujuan meningkatkan dan menguatkan hubungan antara AS dengan Malaysia selain mengenal pasti hala tuju kerjasama di pelbagai peringkat dalam tempoh terdekat dan jangka masa panjang. Lawatan rasmi Najib ini diyakini akan membuahkan manfaat yang besar pada negara dan rakyat dalam pelbagai aspek.

Kerjasama Ekonomi Kuala Lumpur-Washington

Kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara tentunya akan menjadi antara tema utama dalam perbincangan Najib dengan Trump. Sesuai dengan status AS sebagai pelabur kedua terbesar negara, kunjungan ke Rumah Putih esok bakal dimanfaatkan perdana menteri untuk membawa pelbagai idea ekonomi dan perdagangan demi kepentingan bersama.

Kerjasama yang mapan dalam isu ini adalah sangat penting. Sejak Trump mengambil alih pentadbiran AS awal tahun ini, kebanyakan rakan dagang AS di rantau Asia mula menyuarakan kebimbangan mengenai dasar protectionist yang diambil Washington untuk melindungi dan mendahulukan kepentingannya. Disebabkan kebergantungan yang bukan sedikit kepada AS, Malaysia turut merasa tempiasnya.

Situasi ini nyata sangat berbeza ketika Barack Obama menjadi presiden AS. Selaku kuasa besar ekonomi dunia, dasar ekonomi yang lebih terbuka di bawah pentadbiran Obama memberikan situasi menang-menang kepada semua rakan dagang AS. Kebimbangan mula timbul selepas Trump mengumumkan penarikan diri negara itu daripada Perjanjian Perkongsian Trans-pasifik (TPPA) sebaik mengangkat sumpah sebagai presiden.

Justeru, pertemuan dengan Trump esok dilihat sebagai satu kesempatan buat Najib untuk membawa Malaysia ke dalam satu dimensi ekonomi yang lebih menggalakkan bersama AS.

Ancaman Dan Bahaya Ekstremisme

Biarpun Malaysia adakalanya menentang beberapa keputusan AS khususnya berkenaan dasar luar Washington di Asia Barat dan pendiriannya dalam banyak isu berkaitan hak asasi manusia, ruang kerjasama dan persefahaman antara kedua-dua negara ini terbukti lebih luas sehinggakan hubungan Kuala Lumpur-Washington terus kekal baik sehingga hari ini.

Persefahaman antara kedua-dua negara ini boleh dilihat dalam pelbagai isu antarabangsa yang berbangkit. Seperti yang dilaksanakan beberapa pentadbiran sebelum ini, Trump turut menjadikan ancaman pengganas dan keselamatan global sebagai antara keutamaan di bawah pentadbirannya.

Kunjungan Najib yang berkebetulan jatuh pada ulang tahun yang ke-16 serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 2001 dijangka akan turut memperlihatkan perbincangan antara kedua-dua pemimpin itu mengenai ancaman pengganas yang semakin membimbangkan.

Sebagai sebuah negara majoriti Muslim yang dinamik dan progresif, kecekapan Malaysia dalam membendung kemasukan anasir-anasir dan ancaman-ancaman pengganas diakui banyak pihak. Malah, peranan dan sumbangan Malaysia dalam mencari penyelesaian konflik serantau dan antarabangsa boleh dilihat jelas di Selatan Filipina, Selatan Thailand dan beberapa wilayah lain.

Di bawah kepimpinan Najib, Malaysia terus maju sebagai negara majoriti Muslim yang moderat. Gerakan Kesederhanaan Global (Global Movement of Moderates – GMM) adalah satu inisiatif yang diilhamkan sendiri oleh Najib pada 2010 dalam usaha Malaysia mempromosikan kesederhanaan dan membendung keganasan. Inisiatif yang menerima pengiktirafan dunia termasuklah daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan ASEAN ini sekaligus menjadi tempelak kepada kelompok-kelompok ekstremis agama di seluruh dunia.

Kestabilan Serantau

Pertemuan dan perbincangan Trump-Najib esok pastinya akan menyentuh beberapa isu semasa seperti sikap Korea Utara yang tidak henti-henti mengancam kestabilan rantau ini melalui ujian nuklear dan sistem peluru berpandunya. Najib dan Trump juga tentu akan membincangkan isu keselamatan maritim dengan serius berikutan kehadiran dan aktiviti China yang semakin agresif di Laut China Selatan.

Dengan pendirian Trump yang mula menyedari kepentingan mengekalkan pengaruh Washington di Asia, Trump tentunya tidak mahu pengaruh AS di rantau ini digugat dan diancam begitu sahaja. Menyedari hakikat ini, Najib tentu akan mengambil kesempatan dalam pertemuannya dengan Trump esok untuk meyakinkan Commander in Chief pasukan tentera AS itu mengenai kepentingan untuk mengekalkan kekuatan dan aset ketenteraan mereka di rantau ini bagi memastikan keseimbangan kuasa terus wujud.

Pendekatan sebegini bakal memperlihatkan kebijaksanaan dan keupayaan Malaysia di bawah kepimpinan Najib dalam mengimbangi pengaruh kuasa besar dunia khususnya AS dan China.

Pembantaian Ke Atas Etnik Rohingya

Setelah fokus dunia terarah kepada krisis Israel-Palestin dalam isu Masjid Al-Aqsa sekitar Julai lalu, tumpuan masyarakat dunia kini beralih kepada nasib malang yang menimpa etnik Rohingya di Myanmar. Pertemuan dengan Trump esok merupakan waktu terbaik untuk Najib membangkitkan kebimbangan banyak pihak mengenai kekejaman dan keganasan yang berlaku. Dalam hal ini, Najib sudah pasti akan meminta bantuan AS sebagai sebuah kuasa yang berpengaruh untuk mencari dan membawa penyelesaian segera dalam isu Rohingya.

Malaysia terbukti sentiasa konsisten di barisan hadapan dalam menuntut segala bentuk penyiksaan dan penindasan ke atas etnik Rohingya dihentikan. Pelancaran Misi Kemanusiaan Untuk Rohingya dalam kempen ‘Negaraku Prihatin’ oleh Najib semalam bukan sahaja bertujuan membantu etnik yang paling malang di dunia itu, tetapi dalam masa yang sama ianya turut menjadi satu manifestasi bantuan Malaysia untuk tidak membiarkan Bangladesh bersendirian terbeban dengan tanggungjawab melindungi pelarian yang semakin ramai.

Pengecualian Visa Untuk Malaysia

Antara perkara yang tidak kurang penting untuk kita lihat dalam pertemuan Trump-Najib esok adalah samada Malaysia boleh memuktamadkan penyertaan dalam program pengecualian visa oleh AS. Perkara ini sudah dibincangkan Najib dengan Obama sewaktu lawatan bekas presiden AS itu ke Kuala Lumpur pada April 2014.

Malaysia kini sudah pun berada dalam fasa terakhir permohonan. Sekiranya permohonan ini berjaya kelak, rakyat Malaysia yang berkunjung ke AS bagi tujuan pelancongan dan perniagaan bakal menikmati kelebihan untuk tinggal di negara itu tanpa visa dengan had maksimum selama 90 hari. Tempoh itu sememangnya cukup lama dan ia tentunya merupakan antara hadiah besar yang diberikan perdana menteri kepada rakyat.

Peluang Yang Tidak Wajar Disia-siakan

Peluang untuk bertemu secara rasmi dengan seorang presiden negara kuasa besar tidak datang selalu, apatah lagi apabila ianya berlaku atas undangan Trump sendiri. Kunjungan Najib esok bakal menjadi kunjungan pertama seorang perdana menteri Malaysia ke Rumah Putih dalam tempoh 14 tahun. Mengambil kira potensi Malaysia dan peranan yang boleh dimainkan negara dalam kesemua isu yang disebutkan di atas, pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu esok sangat mustahak dan Najib tentu akan memanfaatkan kesempatan ini dengan sebaiknya.

Justeru, ia membangkitkan kehairanan ramai mengenai tindakan Penasihat DAP Lim Kit Siang sebelum ini yang mendesak Kabinet untuk menolak undangan Trump kepada Najib mengenai pertemuan di Rumah Putih. Gesaan yang dibuat Kit Siang ini sememangnya amat ganjil dan memalukan. Malah, ianya langsung tidak masuk akal dan hanya membuka pekung di dada sendiri.

Gesaan Kit Siang ini mencerminkan tindakan terdesak beliau setelah melihat usaha pembangkang memburuk-burukkan imej perdana menteri di mata pemimpin dunia yang lain menemui jalan buntu. Malah, tindakan itu tentunya lahir daripada rasa dengki dan cemburu melihat hubungan Malaysia-AS yang kekal baik selain pengiktirafan yang diterima Najib atas kepimpinannya yang dilihat cemerlang.

Di bawah pentadbiran Najib, Malaysia telah mengecapi pelbagai kejayaan dan pengiktirafan di peringkat global. Daya saing ekonomi negara yang tinggi, kebijaksanaan mengendalikan krisis dan konflik, kemampuan mengimbangi pengaruh dan kecekapan menyekat kemasukan elemen-elemen pengganas adalah antara kemahiran yang sering dikaitkan dengan Malaysia.

Bayangkanlah jika Kabinet menerima desakan sempit Kit Siang itu, Najib tentunya tidak berpeluang untuk membawa isu-isu yang signifikan ini untuk perhatian dan pertimbangan AS. Natijahnya, Malaysia bukan sahaja akan gagal membawa aspirasi rakyat, malah harapan yang diletakkan oleh pelbagai masyarakat antarabangsa atas bahu Malaysia khususnya dalam isu keamanan sejagat berkemungkinan besar akan hanya tinggal harapan.

Sebagai rakyat sebuah negara yang progresif dan kian maju, kita tentu tidak mahu pengaruh Malaysia terhakis dan peranan kita di pelbagai peringkat tidak lagi dipandang. Justeru, ini adalah peluang terbaik Najib untuk terus menutup segala kritikan yang dilemparkan ke atas beliau. Kejayaan memacu negara ke tahap yang lebih tinggi hasil daripada pertemuan ini lambat-laun pastinya akan membuka mata rakyat untuk membezakan antara kaca dengan permata.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here