KAJIAN sentimen pengguna terkini PropertyGuru Malaysia menunjukkan 57% daripada pembeli di negara ini merancang untuk membeli hartanah dalam tempoh enam bulan akan datang.

Pengurus Negara, Sheldon Fernandez berkata sebilangan besar pembeli telah menyesuaikan bajet mereka dan lebih bersedia untuk melakukan pembelian.

“Dengan bajet yang lebih kecil, mereka mungkin mampu membeli hartanah, yang boleh menyumbang kepada sentimen yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata walaupun sebahagian pembeli mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum pilihan raya umum akan datang, dijangka 2018 akan menyaksikan lebih banyak transaksi, berikutan mereka cuba mengambil peluang daripada lebihan bekalan jenis hartanah tertentu, terutamanya unit strata bertingkat.

Walaupun peningkatan kepuasan pengguna adalah kecil, dijangka sentimen yang lebih baik berterusan pada tahun ini, susulan pengguna memberi tindak balas positif terhadap isu lebihan bekalan di pasaran, bantuan yang lebih baik daripada kerajaan bagi pemilikan rumah mampu milik dan faktor-faktor makroekonomi.

“Faktor makroekonomi ini termasuk pengukuhan ringgit, harga minyak mentah yang meningkat dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar yang lebih baik daripada jangkaan.

“Analisis kami pada 2017 menunjukkan pasaran sederhana dengan harga, pada amnya merosot. Bagaimanapun, dengan prestasi ekonomi yang lebih baik daripada jangkaan, pengguna semakin yakin,” katanya.

Kriteria pengguna untuk membeli rumah tidak berubah dengan lokasi, keselamatan dan saiz unit, menjadi tiga faktor utama untuk dipertimbangkan apabila membuat keputusan untuk membeli rumah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here