KUALA LUMPUR: Pasaran niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan.

Peniaga Minyak Sawit Kanan Interband Group of Companies, Jim Teh, berkata harga dijangka antara RM1,800 dan RM2,000 satu tan disebabkan bekalan yang tinggi di negara-negara pengeluar utama.

Pada 10 September, laporan Lembaga Minyak Sawit Malaysia setakat akhir Ogos 2015 menunjukkan jumlah pengeluaran meningkat 12.96 peratus kepada 2.05 juta tan pada Ogos 2015 berbanding 1.82 juta tan pada bulan sebelumnya.

Jumlah bekalan minyak sawit Malaysia pada Ogos 2015 meningkat sebanyak 10.04 peratus kepada 2.49 juta tan berbanding 2.27 juta tan sebelum ini.

Teh berkata, bekalan itu dianggap tinggi, berikutan ketidaktentuan ekonomi semasa yang mempengaruhi permintaan terhadap komoditi. “Bagaimanapun, dengan ringgit yang lemah, permintaan akan masih ada memandangkan harga minyak itu masih murah berbanding minyak sayuran lain,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, September 2015 menokok RM77 kepada RM2,032 setan, Oktober 2015 naik RM88 kepada RM2,077 setan, November 2015 meningkat RM103 kepada RM2,134 setan dan Disember 2015 melonjak RM100 kepada RM2,179 setan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 228,785 lot berbanding 194,076 minggu lepas, manakala kepentingan terbuka susut kepada 245,697 kontrak daripada 251,808 kontrak sebelum ini. Pada pasaran fizikal, Selatan September mengakhiri minggu pada RM2,040 setan.

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here