harapan

SHAH ALAM – Peranan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad bukan sekadar umpan menarik orang Melayu, tetapi mengukuhkan undi bukan Melayu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk A Kadir Jasin berkata, pandangan Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mengenai peranan Mahathir tepat, kerana orang Melayu kini sedang meninggalkan BN untuk menyertai Pakatan Harapan.

Kelmarin, Shahrizat berkata, peranan Mahathir dalam Pakatan Harapan tidak lebih hanya  menjadi ‘umpan’ meraih undi orang Melayu yang diketuai DAP.

Dalam nada sinis, A Kadir berkata, pandangan Shahrizat sememangnya tepat kerana yang jadi umpan katak untuk dibaham ikan toman adalah BN.

“Lihat sambutan rakyat terhadap Pakatan Harapan di bandar dan luar bandar, malah meluas ke tanah rancangan seperti Felda.

“Walaupun dalam keadaan terbatas, disekat, disabotaj, sokongan itu hampir menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata, hakikat yang harus disedari di bawah pimpinan Mahathir, BN telah mencipta kegemilangan jauh lebih baik berbanding Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, era pimpinan Mahathir, BN boleh menang lima pilihan raya umum dengan majoriti dua pertiga berbanding zaman Abdullah dan Najib.

“Abdullah hilang dua pertiga pada 2008 manakala pencapaian Najib pada PRU13 lebih teruk,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here