Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Datuk Mohamed Azmin Ali memanggil suatu mesyuarat empat komponen parti itu bagi membincangkan rundingan kerusi pada 7 Februari ini.

Hal ini susulan bidasan terbuka di antara AMANAH Selangor dan PKR Selangor berkenaan agihan kerusi.

Azmin dalam sepucuk surat bertarikh 5 Februari yang dilihat Malaysiakini berkata HARAPAN Selangor meminta parti komponen untuk menamakan empat orang wakil daripada parti masing-masing.

Dalam surat itu juga, Azmin meminta mesyuarat rundingan kerusi di Selangor untuk diadakan segera.

Dalam surat itu, Azmin mengesahkan PKR telah melantik timbalan pengerusi PKR Selangor Zuraida Kamaruddin, anggota parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian dan anggota parlimen Subang R Sivarasa sebagai wakil parti itu.

Pengerusi AMANAH Selangor Izham Hashim dan pengerusi DAP Selangor Tony Pua mengesahkan menerima surat tersebut.

Bagaimanapun, surat itu tidak menyatakan tarikh dan tempat mesyuarat tersebut.

“Tetapi ada sikit good news. Mesyuarat pertama hari rabu sekitar 10.30 pagi 7 Februari,” kata Izham yang menambah komponen parti HARAPAN tidak diberitahu tempat mesyuarat itu bakal berlangsung.

Pua pula berkata DAP akan melantik empat anggota sebagai wakil dalam jawatankuasa rundingan kerusi pilihan raya .

“Kami mahu suatu penyelesaian segera dalam semangat Pakatan Harapan dengan kesemua parti merupakan adalah setaraf,” kata Pua.

AMANAH, BERSATU dan DAP menggesa Azmin mengadakan suatu mesyuarat rasmi rundingan kerusi di bawah rangka kerja HARAPAN Selangor.

Manakala PKR bertegas komponen parti itu telah bertemu sebanyak empat kali melalui jawatankuasa pilihan raya HARAPAN Selangor.

Jumaat lalu, Azmin mendakwa AMANAH ‘berbohong’ berkenaan status rundingan kerusi.

Hal ini mendorong pemimpin AMANAH Selangor Izham Hashim menggelar Azmin sebagai ‘joker’ menegaskan rundingan kerusi belum lagi dimulakan dan mendakwa timbalan presiden PKR itu tidak layak menjadi menteri besar.

Kenyataan ‘joker’ itu mendorong kemarahan┬ápimpinan PKR Selangor yang tampil mempertahankan Azmin dan menuduh Izham kurang sopan.

Namun begitu, Izham kemudiannya mendakwa kenyataan beliau telah disalah-ertikan.

Sebelum itu, Azmin bertegas jawatankuasa itu telah bertemu empat kali bagi merundingkan kerusi dan 80 peratus kerusi telah pun dimuktamadkan.

Bagaimanapun, Pua berkata pihaknya tidak tahu-menahu 80 peratus kerusi telah dimuktamadkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here