KUALA LUMPUR – Parti Pekerja-Pekerja Malaysia tidak boleh dijenamakan semula sebagai Parti Amanah Negara (Amanah) kerana ia bukan parti politik tetapi sebuah parti yang memperjuangkan hak pekerja.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, oleh itu Harapan Baru tidak boleh menggunakan nama Amanah sebagai nama rasmi wadah politik mereka selagi perlembagaan parti pekerja itu tidak dipinda dan mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Sekarang ini mereka tiada rumah (parti). Ingin pakai rumah orang lain. Parti pekerja bukan parti politik. Kalau mereka ingin teruskan (jenamakan semula Parti Pekerja dan) pakai nama Amanah, mereka kena ubah (pinda) perlembagaan Parti Pekerja.

“Mereka juga kena ubah sistem pentadbiran Parti Pekerja dan tunjukkan terlebih dahulu kerja-kerja pentadbiran untuk membuktikan mereka mewakili sebuah parti politik dan bukannya parti pekerja,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi Harapan Baru, Mohamad Sabu pada Isnin lepas yang mengumumkan akan menukarkan nama Parti Pekerja-Pekerja Malaysia kepada Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai nama rasmi wadah politik gerakan itu.

Bekas Timbalan Presiden Pas yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, HB telah mengambil alih Parti Pekerja-pekerja Malaysia, dan butiran mengenai penjenamaan semula itu akan diserah kepada ROS secepat mungkin bagi mendapatkan
kelulusan.

Nur Jazlan yang juga Ahli Parlimen Pulai, Johor menegaskan, Amanah juga perlu melalui proses lantikan dalaman seperti keanggotaan, pengisian jawatan, dan sekurang-kurangnya perlu mengadakan mesyuarat parti.

Beliau berkata, setelah selesai proses tersebut, barulah Amanah boleh mendaftar diri ke ROS untuk kelulusan dan sebarang tindakan lanjut.

Sehingga kini, Nur Jazlan berkata, ROS belum menerima permohonan pendaftaran parti Amanah tersebut.

Sebelum ini, HB telah mengemukakan untuk mewujudkan parti politik baharu dengan menggunakan nama Parti Progresif Islam (PPI), bagaimanapun ROS menolak permohonan itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri, sebelum ini dilaporkan berkata, bahawa permohonan itu ditolak kerana Islam adalah hak untuk semua orang yang beragama Islam dan penggunaan nama Islam pada parti politik boleh menyebabkan kekeliruan.

Sumber: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here