Halimah Yacob

Halimah Yacob menjadi Presiden pertama Singapura dalam kalangan wanita setelah beliau selesai menyerahkan borang pencalonan tengahari tadi. Beliau diumumkan sebagai Presiden selepas menang tanpa bertanding apabila dua calon lain dalam kalangan kaum Melayu yang merupakan ahli perniagaan gagal menepati syarat kelayakan yang ditetapkan untuk golongan korporat. Undang-undang pemilihan Presiden Singapura menetapkan calon dalam kalangan ahli perniagaan perlu mempunyai pegangan ekuiti sekurang-kurangnya S$500 juta.

Justeru apabila dua calon lain, Mohamed Salleh Marican dan Farid Khan gagal menepati syarat berkenaan, maka Halimah muncul satu-satunya calon yang layak dan beliau disahkan menang tanpa bertanding. Beliau yang berusia 63 tahun menjadi Presiden Singapura pertama yang terdiri daripada wanita dan selepas Yusof Ishak muncul sebagai Presiden Singapura dalam kalangan kaum Melayu 47 tahun lalu, kini tiba pula giliran Halimah.

Kerajaan Singapura telah memutuskan hanya membuka pencalonan dalam kalangan kaum Melayu untuk bertanding dalam pilihan raya Presiden negara berkenaan kali ini selepas kali terakhir Yusof yang juga Presiden Singapura pertama memegang jawatan berkenaan. Untuk rekod kaum Melayu mewakili kira-kira 13 peratus keseluruhan populasi Singapura.

Perjalanan Halimah untuk muncul sebagai Presiden sudah tentu melalui perjalanan yang panjang. Beliau dilahirkan 23 Ogos 1954 dan beliau merupakan anak bongsu daripada lima adik beradik. Bapa Halimah yang juga seorang pengawal keselamatan meninggal dunia ketika beliau berusia lapan tahun. Keadaan ini menyebabkan ibunya terpaksa mengambil peranan sebagai ketua keluarga dengan bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai makan.

Sejak usia 10 tahun masa kanak-kanak Halimah selain dari ke sekolah banyak dihabiskan dengan membantu ibunya di kedai makan berkenaan. Ketika berada di Tingkatan 2, Halimah nyaris-nyaris dibuang sekolah kerana tidak hadir ke sekolah terlalu kerap. Ini terjadi kerana beliau juga memainkan peranan dalam membantu keluarganya sendiri. Hasil usaha kerasnya dan sokongan kuat ibu, Halimah berjaya menamatkan pendidikan di peringkat sekolah menengah dengan baik sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Singapura dan seterusnya meneruskan pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang yang sama di Universiti Kebangsaan Singapura.

Beliau memulakan kerjaya di National Trades Union Congress pada tahun 1978 dan terlibat dalam pelbagai jawatan selama beberapa dekad sehingga memegang jawatan Timbalan Setiausaha Agung pergerakan buruh berkenaan. Halimah memasuki bidang politik atas desakan mantan Perdana Menteri Singapura, Goh Chok Tong pada tahun 2001. Beliau seterusnya dipilih sebagai Ahli Parlimen kawasan Jurong. Sepuluh tahun kemudian beliau dilantik ke Kementerian Pembangunan Komuniti, Belia dan Sukan. Beliau juga pernah dipilih sebagai Speaker Parlimen Singapura pada 2013 dan beliau merupakan wanita pertama yang dilantik ke jawatan berkenaan.

Beliau juga dikenali di Singapura sebagai pejuang hak-hak wanita di samping sering mengutamakan isu melibatkan warga emas dan hal-hal berkaitan kesihatan mental. Beliau juga menjadi penaung kepada Persatuan Wanita Muslim Singapura (PPIS).

Pemilihan beliau sebagai Presiden Singapura dipertikai sesetengah rakyat dan pemerhati politik kerana tidak pemilihan berkenaan dibuat tanpa pilihan raya sebenar serta tidak ada calon yang layak bertanding, namun Halimah tetap menegaskan bahawa komitmen beliau tetap kukuh untuk berkhidmat sehabis baik kepada seluruh rakyat Singapura tanpa mengira kaum dan agama. Halimah juga mahu dilihat sebagai Presiden yang bebas dan adil walaupun ada yang mengaitkan kecenderungan politik beliau dengan parti memerintah Singapura.

Selamat berkhidmat Halimah!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here