Bekas pemain veteran Kelantan, Indra Putra Mahayuddin akhirnya ‘buka mulut’ mengenai hala tujunya musim depan.

Pemain berusia 37 tahun itu menerusi laman Instagramnya memberi bayangan bahawa dia akan menyarung jersi pendatang baharu Liga Super, Kuala Lumpur bermula musim 2018.

Terdahulu timbul khabar angin bahawa Indra berada dalam radar juara Liga Perdana itu tetapi tiada kata putus lagi daripada Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Indra memuatnaik video aksinya sepanjang bersama skuad The Red Warriors (TRW) dengan hashtag #hellokualalumpur seakan-akan mengiyakan spekulasi sebelum ini.

“Suatu keputusan yang sukar untuk saya buat tapi Allah beri apa yang saya perlu, bukan apa yang saya mahu.

“Semoga Allah jadikan ini jalan terbaik untuk saya pada 2018. Selamat maju jaya kepada madam (Presiden Kafa) & TRW musim depan,” katanya.

Jodoh Indra bersama TRW berakhir musim ini apabila Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memutuskan untuk tidak memperbaharui kontraknya.

Indra sebelum ini pernah mewakili beberapa pasukan antaranya Perak, Pahang, Selangor, T-Team dan FELDA United.

Pada masa sama, Indra turut mengucapkan terima kasih kepada Kafa dan penyokong TRW di atas sokongan padu mereka sepanjang kariernya bersama pasukan itu.

“Sukar untuk lupakan mereka yang berikan kenangan untuk diingat. Terima kasih buat semua penyokong TRW, Tan Sri Annuar Musa, Puan Presiden (Kak Bi), pengurusan lama, pengurusan baru, rakan pasukan dan seluruh rakyat Kelantan.

“Terima kasih untuk segalanya (2009, 2010, 2012, 2013, 2016, 2017,” katanya.

Video yang dimuatnaik malam Ahad itu ditonton lebih 12,058 pengikutnya di Instagram.

Kuala Lumpur menjulang kejuaraan Liga Perdana 2017 walaupun tewas 1-3 kepada Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pada aksi terakhir liga di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Bahru, 28 Oktober lalu.

Kejayaan itu juga dibantu kekalahan pesaing terdekat, Terengganu yang turut tewas 1-3 kepada PKNP FC di Stadium Perak, Ipoh sekali gus mengesahkan tiket Kuala Lumpur ke pentas Liga Super musim depan.

— MStar Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here