Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin akan melepaskan jawatan masing-masing berkuat kuasa 31 Julai ini.

Satu kenyataan dari Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan berkata, surat peletakan jawatan mereka dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, 7 Jun lalu.

Menurut kenyataan itu, Istana Negara dalam surat bertarikh 11 Jun memaklumkan Sultan Muhammad V memberi perkenan kepada peletakan jawatan mereka.

Kenyataan itu berkata, Raus dan Zulkelfi menemui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 15 Mei lalu untuk menyuarakan hasrat melepaskan jawatan masing-masing.

“Bagaimanapun, mereka memberitahu perdana menteri yang peletakan jawatan mereka akan berkuat kuasa selepas satu tempoh munasabah bagi membolehkan semua urusan kehakiman diselesaikan.”

Tekanan ke atas Raus dan Zulkefli untuk meletak jawatan bertambah, dengan yang terbaru daripada Persatuan Peguam Bela Sarawak (AAS), Isnin lalu.

Presidennya, Ranbir Singh Sangha dilaporkan berkata, berdasarkan perkembangan baru di dalam negara, tidak munasabah untuk mereka terus memegang jawatan itu.

Dalam sidang media di Tokyo semalam, Dr Mahathir berkata, Majlis Penasihat Kerajaan sudah memberi isyarat kepada 2 hakim tertinggi itu, adalah baik mereka meletak jawatan sendiri.

Perdana menteri berkata, jika tidak, kerajaan mungkin terpaksa mengambil tindakan menyingkir mereka kerana “kami percaya lanjutan tempoh mereka memegang jawatan hakim kanan tidak betul”.

“Majlis Peguam dan peguam terkemuka lain berpendapat lanjutan seperti itu tiada kewajaran, ia tidak pernah dilakukan sebelum ini. Kami telah memberi hakim sehingga umur 65 tahun untuk berkhidmat sebagai hakim, tetapi melanjutkan tempoh perkhidmatan mereka bermakna menafikan peluang hakim lain untuk kenaikan pangkat.”

Presiden Majlis Peguam, George Varughese dalam satu kenyataan pada 16 Mei lalu turut menggesa Raus dan Zulkefli berundur kerana kerajaan pimpinan Barisan Nasional yang mencadang dan mempertahankan pelantikan mereka, tidak berkuasa lagi.

Tahun lalu, Dr Mahathir memfailkan semakan kehakiman untuk mengisytiharkan pelantikan mereka menyalahi undang-undang, tetapi ditolak. Pengerusi Pakatan Harapan itu kemudiannya mengemukakan rayuan.

Raus dan Zulkefli dilantik ke jawatan itu pada 1 April 2017 dan dijadualkan bersara pada 3 Ogos serta 27 September lalu, selepas mencapai usia persaraan mandatori, iaitu 66 tahun 6 bulan.

Pada 7 Julai 2017, kerajaan mengumumkan tempoh perkhidmatan Raus dilanjutkan 3 tahun lagi mulai 4 Ogos tahun lalu, sementara Zulkefli akan kekal untuk 2 tahun lagi, mulai 28 September lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here