Pelumba Moto2 Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah tekad mempamerkan prestasi terbaiknya pada Grand Prix (GP) San Marino hujung minggu ini, selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 pada sesi latihan kedua pada Jumaat.

Pelumba berusia 21 tahun itu yang berpuas hati dengan prestasi jenteranya, berkata keputusan sesi latihan itu memberi keyakinan kepadanya untuk mencatat masa sepusingan yang lebih baik pada sesi kelayakan hari ini.

“Motosikal ini dalam keadaan bagus tetapi kami masih perlu berusaha agar jentera ini lebih baik untuk sesi kelayakan dan perlumbaan pada Ahad,” kata pelumba Pembangunan Bakat Petronas itu dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Mewakili pasukan Petronas Raceline Malaysia, beliau mencatat masa terpantas sepusingan 1:38.224 saat di Litar Misano World.

Sementara itu, pengurus pasukan Barry Leong berkata prestasi Hafizh pada sesi latihan kedua adalah lebih baik ekoran jenteranya yang semakin mantap serta dapat menguasai litar dengan lebih sempurna.

“Hafizh dan pasukan perlu memberi tumpuan bagi mengekalkan momentum untuk sesi kelayakan,” katanya.

Seorang lagi pelumba Malaysia, Azlan Shah Kamaruzaman daripada Idemitsu Honda Team Asia, hanya menduduki tempat ke-19 selepas mencatat 1:38.598s pada sesi latihan kedua.

Sumber: mStar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here