Hadi Awang

Parti Islam SeMalaysia (PAS) di bawah Datuk Seri Abdul Hadi Awang memiliki fasa kepimpinan yang berbeza-beza. PAS ketika Allahyarham Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi Mursyidul Am dan Hadi sebagai Presiden melihatkan pendirian yang konsisten dan teguh mendokong aspirasi gabungan pembangkang ketika itu, Pakatan Rakyat. PAS bersalam dan berpelukan dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP), sebuah parti yang sering bertelagah dan mempunyai prinsip serta falsafah perjuangan yang berbeza dengan PAS. DAP sering mengkritik dasar islamisasi PAS dan tidak bersetuju dengan matlamat utama Parti Islam itu untuk menubuhkan sebuah negara Islam.

Namun apabila Nik Abdul Aziz meninggal dunia, kepimpinan PAS kini berada dalam fasa baru. PAS dengan segera memutuskan hubungan dengan Pakatan Rakyat sehingga menyebabkan pakatan berkenaan terbubar. PAS juga bertindak tidak mahu lagi berhubungan dengan DAP dan sebuah lagi parti sekutu, Parti Keadilan Rakyat (PKR). Tindakan ini menyebabkan gabungan pembangkang yang dahulunya difikirkan mampu menggantikan Kerajaan sedia ada kini berada dalam keadaan terumbang-ambing.

Arah kepimpinan baru Hadi yang kini dilihat lebih mesra kepada UMNO juga menimbulkan kegusaran tambahan pula apabila berlaku kekalahan besar-besaran pemimpin golongan profesional dalam PAS semasa pemilihan parti berkenaan sehingga orang-orang kecewa ini menubuhkan Parti Amanah Negara (PAN). Keakraban hubungan Hadi dengan pimpinan UMNO ini tidak dijelmakan secara nyata, tetapi lebih kepada kiasan dan teka-teki yang sukar dijawab. Menggunakan alasan bersatu demi Islam dan Melayu dalam isu-isu tertentu, Hadi dilihat memiliki kecenderungan politik berbeza pada masa kini.

Baru-baru ini Hadi telah mengeluarkan kenyataan berkaitan isu 1MDB. Hadi dalam tulisannya meminta untuk sebarang campur tangan seperti diambil oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) itu ditolak ke tepi dan wajar dipandang serius sebagai satu bentuk usaha negara seperti Amerika Syarikat untuk menganggu ketenteraman dan keamanan politik yang dikecapi oleh Malaysia. Dalam tulisan yang dipenuhi ayat-ayat al-Quran dan petikan hadis, Hadi menepis tindakan DOJ berkenaan dan mahu sebarang usaha pendakwaan berkaitan kes 1MDB dibuat menggunakan saluran perundangan dalam negara.

Namun kini kita dapat melihat berlaku pergeseran kepimpinan secara tanpa sedar dalam PAS. Kenyataan Hadi ini tidak dinafikan oleh mana-mana pemimpin Parti berkenaan, tetapi Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan berhubung isu 1MDB telah memberikan pandangan yang jelas berbeza dengan Hadi.

Tuan Ibrahim secara terang-terangan mengkritik cara Kerajaan menangani isu ini. Beliau berkata institusi penguatkuasaan undang-undang di Malaysia telah gagal untuk menyelesaikan kes 1MDB secara terbuka dan telus. Tuan Ibrahim juga tidak menganggap tindakan diambil DOJ sebagai satu bentuk campur tangan asing, malah beliau menganggap Kerajaan tidak segera dalam mengambil tindakan dan menyebabkan DOJ mengambil tindakan berasaskan kepada keperluan undang-undang Amerika Syarikat sehingga menimbulkan kekeliruan kepada rakyat mengenai siapa betul dan siapa bersalah dalam kes ini.

Pandangan lebih kritikal oleh Tuan Ibrahim ini sebenarnya memberi gambaran bagaimana beliau kini tidak selesa dengan cara Hadi yang dilihat lunak terhadap Kerajaan dan PAS sebenarnya perlu menyelesaikan hal-hal kepimpinan dengan baik agar dilihat mempunyai prinsip jelas dan tidak terikut-ikut dengan rentak mana-mana pihak yang mampu mempengaruhi perjuangan Parti Islam ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here