Presiden PAS menegaskan pihak yang mengkritik cadangan untuk membentuk kabinet berbeza bagi umat Islam dan bukan Islam disifatkan sebagai tidak faham apa yang cuba beliau perkatakan. Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata laporan mengenai kenyataannya berhubung pembentukan kabinet beberapa hari lalu adalah tidak betul.

Kata Abdul Hadi apa yang diimaksudkannya ialah pembahagian tugas yang biasa dilakukan oleh sesebuah kerajaan.

“Dua kabinet itu tak betul, bukan dua kabinet (tetapi) pembahagian tugas, dan biasalah dalam kerajaan ada perdana menteri, timbalan perdana, menteri tugas-tugas khas, menteri yang memantau kementerian, itu biasa pembahagian, bukan dua kabinet.

“Itu yang dia tak faham, tak faham ulasan saya,” kata Abdul Hadi dalam temu bual bersama Malaysiakini di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, semalam.

Abdul Hadi berkata demikian mengulas laporan media sebelum ini mengenai kabinet ilham beliau.

The Malaysian Insight kelmarin melaporkan Abdul Hadi sebagai berkata setiap kaum akan diberi peranan tersendiri dalam pentadbiran PAS jika parti itu berjaya membentuk kerajaan persekutuan.

Beliau dilaporkan berkata PAS bercita-cita menubuhkan dua kabinet berbeza dalam pentadbiran kerajaan.

“Jika PAS memerintah, ia akan terbahagi kepada dua – (satu), kabinet yang buat keputusan tentang dasar negara. Ini perlu terdiri daripada mereka yang memeluk ideologi dan kepercayaan nasional.

“Kabinet itu akan melantik kabinet eksekutif yang akan melaksanakan dasar dan ahlinya boleh terdiri daripada orang bukan Islam, dilantik berdasarkan kepakaran mereka,” Abdul Hadi dipetik sebagai berkata.

Teknokrat dari parlimen, swasta

Kumpulan kedua pula kata laporan itu adalah teknokrat yang akan melaksanakan dasar kerajaan, katanya lagi.

“Teknokrat ini boleh dari parlimen atau sektor swasta,” kata Abdul Hadi.

Anggota parlimen Marang itu mengatakan Islam masih membenarkan orang bukan Islam berada dalam kabinet walaupun Malaysia adalah negara majoriti orang Islam.

Abdul Hadi berucap demikian dalam program dialog bersama NGO India di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Tegas Abdul Hadi lagi, perkara yang beliau nyatakan itu juga merupakan hasil tulisan dan kajian para ulama.

“Ulasan itu tidak kena, apa yang disebut itu ialah apa yang ditulis ulama-ulama dalam kitab-kitab Islam.

image: https://i.malaysiakini.com/1078/985491c4e8cce865079f26b1c1a8efcd.jpg

“Kitab-kitab yang ditulis oleh ulama Islam berkenaan pemerintahan negara yang diciplak oleh orang Itali, di mana orang Barat tidak mengenali demokrasi moden.

“Mereka tahu revolusi England, revolusi Perancis, revolusi Russia, nak ubah kerajaan (tapi) tak tahu pilihan raya sehingga mereka mengkaji sejarah Islam dan baru boleh buat pilihan raya.

“Sistem pemerintahan begitu juga, banyak Islam memberi sumbangan kepada Barat tetapi Barat tak berterima kasih kepada Islam dan mengelirukan orang, termasuklah mereka yang tulis berita ini dia tak baca, dia dengar saja dan sepatutnya dia kena kajilah,” katanya.

Pemimpin-pemimpin kanan Pakatan Harapan (HARAPAN) semalam menolak cadangan presiden PAS itu untuk membentuk kabinet berbeza untuk umat Islam dan bukan Islam.

Mereka berpendapat cadangan itu ‘melanggar perlembagaan’ dan bertentangan dengan semangat perpaduan rakyat Malaysia.-MK

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here