BERTITIK tolak daripada kontroversi larangan bertudung oleh sesetengah hotel sejak beberapa hari lalu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli baru-baru ini mencadangkan satu penyelesaian kepada isu ataupun perkembangan yang tampak seperti tidak berkesudahan tersebut. Cadangan yang diutarakan Rafizi ialah penggubalan segera sebuah akta bagi membendung sebarang bentuk diskriminasi di tempat kerja. Menurut Rafizi, akta tersebut bolehlah dinamakan sebagai Akta Keadilan Peluang Kerja dan Kerjaya (Fair Work and Career Opportunity Act).

Secara tuntasnya, semua rakyat pasti boleh bersetuju bahawa soal pemakaian seseorang individu itu tidak ada kena mengena langsung dengan prestasi kerjanya. Malah, masyarakat yang rasional juga secara amnya tentu tidak akan sesekali menilai sesuatu perkhidmatan yang ditawarkan berdasarkan pemakaian pekerja mahupun kakitangan yang terlibat selagi mana pemakaian itu kemas dan menepati etika perkhidmatan yang baik. Malangnya, prejudis terhadap pemakaian yang menepati pematuhan kepada agama, khususnya Islam, masih lagi kekal wujud sehingga ke hari ini. Situasi itu tidak hanya wujud di Malaysia, bahkan ianya adalah satu fenomena ‘malang’ yang ada di mana-mana. Justeru, kita melihat larangan seumpamanya berlaku di beberapa negara lain, dengan Perancis menjadi contoh paling relevan.

Prejudis Yang Sudah Terlalu Lama

Prejudis ini, yang sejak sekian lama kita biarkan, akhirnya perlahan-lahan tampak menjadi satu normaliti dan kebiasaan yang diperhatikan dalam perusahaan dan sektor-sektor tertentu di negara ini. Mungkin kerana sudah agak ‘selesa’ dengan prejudis yang lama bertapak, maka sesetengah majikan mudah berasa selamat dengan menampilkan pelbagai alasan karut ketika mempertahankan tindakan dan polisi diskriminatif mereka terhadap pekerja-pekerja Islam. Situasi yang serupa dapat kita perhatikan dalam soal pengambilan pekerja dan kakitangan dalam sektor swasta. Iklan kerjaya yang hanya memberi peluang kepada “Chinese applicants only” dan individu yang mempunyai kemahiran berbahasa Mandarin menjadi contoh terbaik bagaimana perusahaan-perusahaan ini mengambil polisi diskriminatif di sebalik mesej-mesej tersirat yang terpampang pada iklan-iklan kerjaya mereka.

Biarpun demikian, tiada sebarang tindakan afirmatif yang boleh dikenakan terhadap mereka kerana pada dasar dan hakikatnya, negara ini tidak pun mempunyai undang-undang ataupun akta jelas bagi membendung gejala tersebut. Selagi peruntukan undang-undang yang berkaitan tidak diwujudkan, maka rakyat Malaysia akan terus dipertontonkan dengan episod-episod malang seperti ini. Maka, gesaan Rafizi mengenai keperluan terhadap akta anti-diskriminasi dalam hal ini wajar diambil perhatian oleh semua pihak, baik kerajaan, pembangkang mahupun rakyat terbanyak. Sudah tiba masanya kerajaan dan ahli-ahli parlimen bertindak memperbetulkan keadaan sebelum situasi bertambah buruk dan parah.

Bukan Masanya Berpolitik

Ketepikan sementara sentimen politik. Ini bukan masanya untuk mengambil kredit dan kesempatan ke atas isu yang sekian lama membelenggu negara dan rakyat. Samada kerajaan dan ahli-ahli parlimen yang lain boleh bersetuju dengan nama akta yang dicadangkan Rafizi, itu bukanlah keutamaannya. Dan rakyat sendiri tentu sekali enggan melihat banyak masa dibuang untuk membahaskan perkara-perkara seperti itu. Hakikatnya mereka sudah muak dengan telatah dan gelagat sebahagian ahli-ahli parlimen yang gemar bertikam lidah atas isu-isu dan perkara-perkara remeh. Yang penting pada rakyat ketika ini adalah satu penyelesaian terhadap isu diskriminasi etnik dan agama ini perlu dibentangkan segera.

Besar harapan rakyat untuk melihat akta ini segera digubal kerana kewujudan akta ini kelak bakal menjadi ‘senjata’ terbaik bagi membendung sebarang polisi dan tindakan diskriminatif oleh pihak majikan. Sejauh dan sedalam mana definisi diskriminasi itu mahu diterjemahkan, itu terpulanglah kepada kebijaksanaan penggubal-penggubal yang dipilih. Yang pasti, adanya akta ini kelak tentunya akan menjamin peluang kerjaya yang lebih adil buat semua rakyat. Ianya juga bakal menjadi punca kuasa kepada tindakan afirmatif yang dikenakan kepada mana-mana pihak atas polisi diskriminatif mereka samada secara langsung atau tidak langsung.

Tutup 2017 Dengan ‘Cerita Baik’

Tentunya rakyat terbanyak begitu mengharapkan tindakan ataupun hukuman yang bakal dikenakan itu biarlah berat dan keras kerana kesalahan ‘mengeruhkan’ hubungan dan ketegangan kaum tidak sewajarnya dipandang ringan. Kewujudan akta anti-diskriminasi ini seharusnya menjadi satu cerminan kepada komitmen bersepadu antara kesemua ahli parlimen dalam memperkasakan perpaduan rakyat selain ianya dilihat sebagai satu langkah ke hadapan dalam arena politik tanah air.

Tahun 2017 sudah hampir ke penghujungnya. Tidak dinafikan, perjalanan Malaysia sepanjang tahun ini sememangnya banyak diwarnai insiden-insiden yang menggugat dan mengancam kestabilan hubungan antara kaum dan agama. Maka sewajarnyalah kesemua ahli parlimen dan ahli politik menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi mereka agar penggubalan akta anti-diskriminasi ini dapat direalisasikan. Jika UMNO dan PAS tampak boleh ‘bersatu hati’ dalam isu Rang Undang-Undang (RUU) 355, maka perkara yang sama patut lebih ditunjukkan oleh kesemua ahli politik tanpa mengira parti dalam isu ini. Hakikatnya, akta yang dicadangkan ini berbentuk lebih inklusif, dengan keadilan terhadap semua rakyat menjadi tunjang terpenting.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here