DAP memutuskan untuk mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu pada 12 November 2017 seperti diarahkan Jabatan Pendafta­ran Pertubuhan (ROS) selepas dua pemilihan sebelum ini tidak diiktiraf kerana tidak sah.

Kenapa ROS mengarahkan DAP mengadakan semula pemilihan CEC parti berkenaan?

Ia ekoran aduan ahli-ahli DAP sendiri terhadap dakwaan manipulasi dan penipuan dalam pemilihan CEC pada 29 September 2013.

Kenapa pemilihan semua itu perlu dilakukan?

DAP perlu membuat pemilihan CEC yang baharu secara telus bagi membolehkan perwakilan memilih 20 anggota CEC mereka yang sah dan diiktiraf.

Ini kerana hanya anggota CEC yang sah dan diiktiraf sahaja boleh melantik pemegang jawatan utama parti mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan Parti DAP itu sendiri.

Persoalannya, adakah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng akan bertanding pada pemilihan CEC tersebut?

Bersediakah Guan Eng untuk tidak bertanding pada pemilihan itu?

Sejajar dengan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), Guan Eng tidak perlu bertanding dalam pemilihan semula CEC parti itu bagi menjaga imej parti berkenaan supaya tidak tercemar.

Ini berikutan Guan Eng sendiri merupakan individu yang dituduh di mahkamah atas ke­salahan rasuah dan masih dalam tempoh menunggu untuk dibi­carakan.

Bagaimanapun, adalah tidak salah untuk Ketua Menteri Pulau Pinang itu meneruskan niat untuk bertanding dalam pemilihan semula kerana tindakan itu tidak melanggar undang-undang.

Tetapi, Guan Eng kini sedang dituduh di mahkamah, itu bermakna sudah ada rekod walaupun belum dibuktikan bersalah.

Guan Eng selalu bercakap soal ketelusan dalam parti sedangkan dirinya sendiri masih dalam proses perbicaraan mahkamah berhubung isu rasuah.

Bukahkah hal ini tidak elok dari segi moral selain dianggap tidak beretika sekiranya Guan Eng terus bertanding?

Sudah berbuih mulut banyak pihak mendesak Guan Eng supaya bercuti sementara daripada jawatan ketua menterinya bagi menghadapi perbicaraan kes di mahkamah. Kes yang dihada­pinya bukanlah kes kecil.

Guan Eng didakwa sebagai penjawat awam yang telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi diri­nya dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya negeri ini kepada syarikat Magnificient Emblem Sdn. Bhd.

Ini didakwa dilakukannya ketika mempengerusikan me­syuarat Jawatankuasa Perancang negeri di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar pada 18 Julai 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Guan Eng didakwa sebagai penjawat awam yang telah mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn daripada Li Koon de­ngan harga RM2.8 juta.

Sedangkan nilaian semasa hartanah itu adalah sebanyak RM4.27 juta dan Li Koon sendiri didapati mempunyai hubungan dengan kerajaan negeri.

Perkara itu didakwa di rumah banglo terlibat pada 28 Julai 2015 dan dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Adakah ayah Guan Eng yang juga Penasihat DAP, Lim Kit Siang, akan menasihatkan anaknya supaya tidak bertanding CEC DAP?

Jika dilihat, ianya agak mustahil. Guan Eng pasti akan tetap bertanding dalam pemilihan semula CEC parti berkenaan.

Kit Siang juga pasti berkehendakkan anaknya terus bertanding dan seterusnya mengekalkan kuasa dalam DAP.

Jika Guan Eng tidak bertanding semula, siapa yang mahu meneruskan legasi Kit Siang dalam DAP?

Adakah Guan Eng akan menang pada pemilihan semula CEC parti itu?

Jika Guan Eng bertanding dalam pemilihan semula CEC itu sekalipun, peluang untuk dirinya menang adalah sukar.

Ini kerana, Guan Eng dipalit dengan pelbagai kontroversi selain tuduhan di mahkamah.

Hal ini bagaimanapun terpulang kepada ahli-ahli-ahli DAP yang terlibat dalam pengundian pada 12 November 2017.

Jika ahli-ahli DAP yang mengikut prinsip CAT seperti yang dilaungkan DAP, maka mereka perlu menolak pemimpin-pemimpin yang mempunyai masalah etika dan moral.

Adakah Guan Eng akan ditolak dalam pemilihan semula parti itu atau beliau tidak akan bertanding? Semuanya hanya akan terjawab pada 12 November 2017.

Tidak guna sekadar melaungkan mengenai prinsip CAT tetapi ia tidak diamalkan.

Ini semua akan berlaku jika kepentingan diri mengatasi segalanya-galanya.

Adakah Guan Eng individu sedemikian?

Adakah dinasti keluarga Kit Siang dalam DAP akan berakhir tidak lama lagi?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here