IBR

BERSEDIAKAH DAP untuk menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)?

Itu persoalan yang sehingga kini akan terus menjadi tanda tanya.

Ini kerana DAP khususnya kerajaan negeri Pulau Pinang yang diketuai Ketua Menterinya, Lim Guan Eng dilihat terus mencari helah untuk tidak menandatangani ikrar tersebut.

Adakah DAP dan Guan Eng sengaja berbuat demikian?

Pelbagai alasan dicipta DAP dan Guan Eng antaranya tidak dijemput oleh SPRM untuk berbuat demikian.

Guan Eng dan DAP juga memaklumkan hanya akan menandatangani IBR jika SPRM memasukkan 10 cadangan parti itu mengenai rasuah.

Apakah 10 cadangan tersebut?

Sepuluh cadangan tersebut yang disediakan DAP termasuk mengamalkan prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus) kerajaan negeri dan menginstitusikan pengisytiharan aset oleh ketua menteri dan ahli exco negeri.

Yang lainnya ialah melaksanakan sistem tender terbuka yang kompetitif, melarang anggota keluarga mendapatkan kontrak kerajaan negeri, menolak permohonan untuk memperoleh tanah negeri oleh anggota dewan undangan negeri dan pentadbir kerajaan.

Adakah benar DAP dan Guan Eng melaksanakan 10 perkara itu di Pulau Pinang?

Guan Eng dan kerajaan negeri Pulau Pinang tidak perlu berdolak dalik atau menyalahkan pihak lain mengenai keengganan mereka untuk menandatangani IBR.

Pelaksanaan IBR dibuat atas kapasiti sukarela dan SPRM tidak pernah mengeluarkan sebarang surat kepada mana-mana pihak untuk menandatangani ikrar tersebut.

Jadi kenapa Guan Eng hendak dijemput pula oleh SPRM untuk berbuat demikian?

Jika dijemput, adakah Guan Eng akan terus menandatangani IBR?

IBR menunjukkan ketelusan dan kepimpinan untuk bebas rasuah dan salah guna kuasa serta mempunyai daya saing yang tinggi mengenai IBR.

Sekiranya mana-mana negeri hendak membuat IBR mereka akan menghubungi SPRM untuk melaksanakannya.

Inisiatif menandatangani IBR menunjukkan komitmen dan keseriusan sesebuah negeri atau organisasi itu untuk bebas gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Tiada paksaan sebenarnya oleh SPRM untuk mana-mana pihak melaksanakannya.

Ternyata DAP meng­amal­kan sikap hipokrit dalam isu mena­ngani rasuah apabila terus berdolak-dalik untuk menandatangani IBR.

Jika parti itu bersungguh-sungguh memerangi ra­suah, Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak akan sama sekali mencari helah.

Perkara itu jelas sekali bercanggah dengan janji Pakatan Harapan diketuai DAP kononnya mahu memerangi isu rasuah dalam tempoh 100 hari jika diberi kuasa.

Ini menunjukkan mereka mengamalkan sikap hipokrit dan dwi-standard.

Adakah DAP khususnya Guan Eng tidak berani menandatangani perjanjian itu kerana dia sendiri terlibat dalam kes salah guna kuasa dan rasuah serta sedang menanti dibicarakan di mahkamah?

Bukankah DAP parti politik yang paling lantang bercakap soal pembanterasan rasuah, malah selalu mendabik dada sebagai bersih dan telus?

Malangnya, apabila tiba bab tandatangani IBR, boleh pula menikus dan buat-buat tidak tahu.

Lupakan sahaja prinsip CAT yang dilaksanakan di Pulau Pinang kononnya ‘lebih berkesan dalam usaha membasmi rasuah dan penyalahgunaan kuasa’.

Ke­rana apa perlu dilupakan?

Kerana Guan Eng sendiri tidak bersedia menjulangnya sebagai kepatuhan integriti kepimpinannya.

Sudah berbuih mulut banyak pihak mendesak Guan Eng supaya bercuti sementara daripada jawatan ketua menterinya bagi menghadapi perbicaraan kes di mahkamah. Kes yang dihada­pinya bukanlah kes kecil.

Guan Eng didakwa sebagai penjawat awam yang telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi diri­nya dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan Permohonan Perlingkungan ­Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya negeri ini kepada syarikat Magnificient Emblem Sdn. Bhd.

Ini didakwa dilakukannya ketika mempengerusikan me­syuarat Jawatankuasa Perancang negeri di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar pada 18 Julai 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Guan Eng didakwa sebagai penjawat awam yang telah mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn daripada Li Koon de­ngan harga RM2.8 juta.

Sedangkan nilaian semasa hartanah itu adalah sebanyak RM4.27 juta dan Li Koon sendiri didapati mempunyai hubungan dengan kerajaan negeri.

Perkara itu didakwa di rumah banglo terlibat pada 28 Julai 2015 dan dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dengan segala pertembungan di antara Guan Eng dan SPRM mengenai kes banglo ini, adakah ini menjadi penyebab kerajaan DAP Pulau Pinang enggan menandatangani IBR?

Jika tidak, Guan Eng dan kerajaan negeri Pulau Pinang tidak seharusnya terus mencipta pelbagai helah dan alasan.

Tandatangan sahaja IBR. Adakah ianya suatu yang sukar untuk dilakukan bagi Guan Eng dan DAP.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here