Ketua Menteri, Lim Guan Eng bersedia untuk berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi menjelaskan berhubung perjanjian persefahaman projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Guan Eng berkata, kesediaannya itu adalah untuk mengingatkan kembali kepada Najib bahawa beliau antara individu yang hadir pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara BUCG Sdn Bhd dan kerajaan negeri dalam melaksanakan projek tersebut.

Tambahnya, sebagai individu yang sentiasa sibuk dengan tugasan, Najib berkemungkinan lupa beliau pernah menghadiri majlis yang diadakan pada 28 April 2011 itu yang turut dihadiri Perdana Menteri China, Wen Jiabao dan beberapa pihak lain.

“Mengapa beliau (Najib) kata projek ini membazir wang rakyat dan tidak perlu dibina sedangkan beliau sendiri yang menyaksikan perjanjian tersebut? Memang benar projek ini dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan tidak melibatkan kerajaan Pusat.

“Tetapi, mengapa pada waktu perjanjian ini dibuat, beliau tidak menyatakan bahawa projek ini membazir wang rakyat dan tidak perlu dilaksanakan? Adakah beliau lupa yang beliau turut hadir? Tetapi selepas tujuh tahun, baru Najib nak kata projek ini membazir wang rakyat,” katanya kepada media tadi.

Guan Eng turut mempersoalkan sama ada isu itu dibangkitkan semula selepas tujuh tahun adalah disebabkan pilihanraya yang akan diadakan tidak lama lagi.

Semalam, Najib dilaporkan berkata, projek terowong dasar laut yang sedang diusahakan Kerajaan Pulau Pinang tidak perlu dibina berikutan negeri ini mempunyai dua jambatan yang menghubungi antara kawasan pulau dan seberang.

Najib turut menyifatkan bahawa projek itu sebagai membazir wang rakyat kerana dua jambatan yang sedia ada sudah cukup untuk menampung kenderaan keluar masuk dari tanah besar ke pulau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here