HANYA sehari selepas dilancarkan, kerajaan akhirnya memutuskan untuk membatalkan Integrated Monitoring System atau Sistem Pemantauan Pengendalian Pakej Umrah Malaysia (IMAMS) setelah menerima pelbagai kritikan rakyat, khususnya netizens, yang jelas tidak berpuas hati. Terdahulu, kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) telah memutuskan bahawa sistem tersebut yang turut merangkumi cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dikenakan ke atas setiap jemaah umrah mula berkuat kuasa pada Jumaat yang lalu.

Isu itu mula hangat apabila rata-rata umat Islam di Malaysia melihat ada pihak yang dilihat membuat ‘keuntungan atas angin’ hasil daripada pelaksanaan sistem baru ini. Pada mulanya, keputusan kerajaan untuk menswastakan pengurusan sistem ini kepada satu syarikat tunggal sudah pun mengundang resah dan amarah rakyat apabila mereka melihat adanya pihak yang seolah-olah cuba mengambil kesempatan ke atas kelemahan sistem yang ada selama ini. Biarpun berdepan pelbagai respon negatif ketika itu termasuklah daripada pelbagai syarikat pengendali umrah dan ziarah, kerajaan memutuskan untuk tetap melaksanakan sistem tersebut biarpun tarikh asal pelaksanaannya pada 1 November 2017 telah ditangguhkan sehingga 15 Disember 2017 lalu.

Industri Umrah Yang Subur Dan Menguntungkan

Tidak dinafikan bahawa industri umrah dan ziarah sememangnya sangat menguntungkan apabila transaksi yang melibatkan urusan itu dikatakan mencecah lebih RM1 bilion setahun. Keadaan ini mendorong pelbagai pihak untuk menceburi industri tersebut. Maka kita juga melihat syarikat-syarikat berkaitan industri ini mula wujud dan tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Hakikat yang mungkin tidak disedari ramai ialah betapa industri ini juga sudah menjadi kegilaan ramai pihak dan indiividu yang bukan warganegara Malaysia, apatah lagi beragama Islam, untuk sama-sama cuba mencari jalan dalam mengaut keuntungan dalam urusan ibadah umat Islam di Malaysia ini.

Tetapi rata-rata mereka berdepan kekangan akibat daripada syarat ketat yang dikenakan kerajaan. Keadaan itu akhirnya menyebabkan berlakunya banyak kes penipuan dalam penawaran pakej umrah dan haji. Sehingga suku tahun ketiga 2017 sahaja sudah mencatatkan lebih 30 kes penipuan membabitkan kerugian lebih setengah juta ringgit. Lalu kerajaan pun menguatkuasakan Lesen Khas Umrah (LKU) pada Oktober lalu. Matlamatnya jelas iaitu bagi memantau, mengelak dan membendung kes penipuan umrah dan haji yang banyak dilaporkan sebelum ini. Maka dari semasa ke semasa, orang Islam bolehlah menyemak terlebih dahulu nama-nama syarikat yang telah sah diperakukan lesennya oleh MOTAC.

Siapa Di Sebalik IMAMS?

Yang menghairankan rakyat, mengapa pula diwujudkan IMAMS ini yang fungsinya kurang lebih sama sahaja dengan penguatkuasaan LKU? Kewajipan untuk setiap agensi pengendali umrah untuk mendaftar dengan syarikat pengendali IMAMS juga membangkitkan persoalan ramai. Jika perkhidmatan yang ditawarkan percuma, tidak mengapa. Tetapi hakikatnya bayaran yang dikenakan untuk setiap jemaah mencecah RM90.10. Bunyinya mungkin tidaklah sebanyak mana. Tetapi apabila mengambil kira jumlah jemaah umrah dari Malaysia yang mencecah angka 300,000 orang setiap tahun, tidakkah syarikat ini mengaut keuntungan segera? Memang wajar sangatlah orang Islam marah. Dalam soal ibadah mereka pun ada pihak yang tergamak membuat duit dan untung dengan cara mudah.

Sebelum pembatalan IMAMS diputuskan MOTAC semalam, rakyat diberitahu bahawa kerajaan sudah pun mengarahkan syarikat pengendali sistem itu bahawa ia perlu memastikan bahawa kesemua kakitangan syarikat adalah beragama Islam. Walau bagaimanapun, siasatan ISMA ke atas syarikat pengendali tersebut, Integrated Manasik Monitoring System Sdn. Bhd. melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati hanya seorang sahaja individu Melayu Islam yang didaftarkan sebagai pengarah syarikat sementara individu-individu lain dalam senarai itu dipercayai bukan Muslim. Lebih memeranjatkan apabila pengerusi lembaga pengarah syarikat itu juga dikesan sebagai seorang bekas wakil rakyat UMNO.

Pendedahan ini akhirnya menambahkan lagi kemarahan orang Islam apabila mereka mula bertanya bagaimana individu ini boleh mendapatkan ‘projek’ semudah itu? Dan bagaimana pula orang bukan Islam boleh diberikan kepercayaan dan tanggungjawab untuk mengendalikan hal ehwal orang Islam?

Pengajaran Untuk Kerajaan

Justeru, tindakan MOTAC membatalkan IMAMS dan menarik balik keputusan berkaitan perkara tersebut sangat wajar dan tepat pada masanya. Ia bukanlah semata-mata mengenai perihal orang bukan Islam terlibat mengendalikan urusan ibadah orang Islam, tetapi lebih utama adalah pengenalan caj RM90.10 yang turut merangkumi GST itu membuatkan rakyat mula berfikir begitu terdesakkah kerajaan sehingga urusan ibadah dan umrah pun hendak dikenakan cukai? Benar, GST yang dikenakan sistem tersebut tidak pun lebih RM7.80 untuk seorang jemaah, tetapi ianya tetap dilihat orang ramai sebagai tindakan yang tidak patut berlaku. Tindakan MOTAC membandingkan kos pengurusan itu dengan kos pengurusan di negara-negara Islam yang lain juga bukanlah satu tindakan bijak tatkala sebahagian rakyat sudah pun ditekan dengan isu kos sara hidup yang membebankan.

Sebuah ungkapan Inggeris’ “damage has been done” sesuai untuk menggambarkan betapa persepsi negatif sudah pun terpalit pada MOTAC dan kerajaan secara amnya memandangkan pelaksanaan sistem IMAMS ini sudah pun ditentang pelbagai pengendali umrah dan ziarah sebelum ini. Sikap kerajaan pada masa itu untuk tidak mempedulikan keluhan tersebut ternyata telah mengundang situasi yang tidak baik. Apa pun, tindakan MOTAC untuk segera membatalkan IMAMS setidak-tidaknya memberikan sedikit kelegaan kepada umat Islam dan kerajaan sendiri perlulah mengambil pengajaran daripada perkara ini. Usahlah sewenang-wenangnya menganugerahkan “projek” kepada mana-mana pihak yang berkepentingan dan tidak dipastikan latar belakangnya. Lebih penting lagi, kerajaan perlulah bersedia untuk mendengar rintihan dan keluhan semua pihak yang terlibat dan terkesan secara langsung sebelum sesuatu keputusan itu dibuat. Sebuah proses perangkaan polisi yang berjaya adalah apabila ianya dilakukan melalui konsultasi berkesan antara pembuat dasar, pelaksana, dan tentunya rakyat di peringkat bawah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here