GST

Syawal kian menjelma dan sudah tentu kebanyakan umat Islam di Malaysia sedang rancak membuat persiapan menyambut hari kebesaran ini. Selepas bersungguh-sungguh menunaikan ibadah puasa, kini tiba giliran untuk merayakan kemenangan. Namun begitu, Kerajaan memiliki cara tersendiri untuk memberikan hadiah kepada rakyat sempena hari kemenangan berkenaan. Jangan bimbang, hadiah berkenaan adalah sesuatu yang ‘ditunggu-tunggu’ oleh kita semua.

Kerajaan melalui Jabatan Kastam dan Eksais DiRaja bakal mengumumkan mulai 1 Julai 2017 kira-kira seminggu selepas sambutan Aidilfitri, 60 barang makanan akan dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak 6 peratus. Barang makanan yang termasuk dalam lingkungan GST pada kali ini ialah buah-buahan import seperti anggur anggur dan pic, sayur-sayuran termasuk ubi kentang, kacang panjang, bayam dan jagung manis.

Selain itu, Kerajaan juga dilaporkan bakal ‘menghadiahkan’ rakyat GST 6 peratus terhadap bihun, kuey teow, laksa, mi dan minyak kelapa. Terdapat juga laporan di media menyatakan kopi dan teh turut tidak terkecuali. Lebih mengharukan menurut Jabatan Kastam dan Eksais DiRaja, barang makanan terbaru yang dikenakan GST ini merupakan makanan yang jarang digunakan oleh orang ramai.

Sebelum ini, kebanyakan barang makanan yang dinyatakan telah diberikan penarafan sifar GST dan hal ini sedikit sebanyak telah melegakan rakyat. Namun hari ini, dengan alasan barang makanan ini jarang digunakan oleh rakyat, Kerajaan mengambil kesempatan mengenakan GST dan sudah tentu kesannya besar kerana harga makanan bermasak akan meningkat banyak, begitu juga dengan harga bahan mentah berkaitan.

Sewajarnya GST untuk barang makanan hanya dikenakan kepada item premium yang digunakan oleh golongan berpendapatan tinggi. Bukannya dikenakan terhadap barangan biasa yang menjadi keperluan harian rakyat berpendapatan rendah atau sederhana. Di samping itu pengenalan GST kepada barang makanan ini pada masa sekarang bukanlah langkah yang sesuai kerana rakyat sudah terbeban dengan kos sara hidup sedia ada.

Sewajarnya Kerajaan tidak terburu-buru dalam melaksanakan langkah ini memandangkan rakyat masih dalam proses menyerap kesan GST sedia ada dan pengenalan cukai berkenaan untuk barang-barang baru khususnya makanan dilihat sebagai membebankan. Rakyat sewajarnya diberikan ruang untuk menyusun kembali punca pendapatan akibat GST dan pengenalan cukai untuk item baru sewajarnya dibuat selepas melaksanakan kajian mendalam di samping memerhati secara teliti peningkatan tingkat pendapatan rakyat.

Keputusan seperti ini hanya akan membuatkan rakyat mempersoal kewajarannya dan sehingga kini rakyat tidak dapat merasai manfaat benar di sebalik pengenalan cukai GST. Tiada sebarang program tambahan atau langkah khas diambil bagi mengurangkan beban kos hidup rakyat selain daripada pemberian tunai melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Rakyat sebenarnya memerlukan jaminan pendapatan stabil untuk jangka masa panjang, bukannya jaminan peningkatan atau pengenalan cukai baru secara konsisten untuk masa hadapan.

Jika sebelum ini, timbul kekecohan mengenai pengenalan Cukai Pelancongan, Kerajaan nampaknya belum serik untuk menimbulkan kemarahan rakyat apabila menambah item barang makanan untuk GST ini. Kini kita tidak pasti apakah yang difikirkan oleh Kerajaan dan kita juga kurang pasti adakah Kerajaan ini tidak mahu memenangi pilihan raya akan datang?

SHARE
Previous articlePAS Di Persimpangan Dilema
Next articleNicholas Fung Raih Gelaran Sulung Jelajah Asia
Fuad Shahdan adalah wartawan jalanan dan juga kolumnis Malaysian Access. Beliau melihat isu dari kaca mata tanpa prejudis dan boleh membuatkan manusia terasa hati. Yang benar memang pahit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here