Cukai barangan dan Perkhidmatan (GST) telah diimplementasikan oleh kerajaan bermula 1 April 2015 bagi menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan (kadar sehingga 10%) yang digunapakai sebelum ini dengan kadar yang lebih rendah iaitu 6%. GST atau dikenali sebagai Cukai Nilai Tambah (VAT) di negara Eropah merupakan satu sistem percukaian yang telah digunapakai sejak 1950 dan cukai ini dikenakan ke atas nilai tambah di setiap peringkat pengeluaran.

Isu GST sering kali dikaitkan dengan peningkatan tingkat harga dan kos sara hidup yang akan menyebabkan lebih ramai golongan miskin dan kemudiannya akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi di Malaysia. Perkara ini digembar-gemburkan oleh pihak tertentu dan menuntut kerajaan untuk menghapuskan GST. Namun sedemikian, berdasarkan sudut ekonomi, perkara ini tidak tepat dan telah dibuktikan menggunakan data statistik di negara kita sendiri.

Berdasarkan Ketua Pakar Ekonomi MIDF Investment Dr Kamaruddin Mohd Nor, kadar inflasi negara pada 2017 yang dijangka antara 2.5 dan 2.8 peratus sebagaimana diukur oleh Indeks Harga Pengguna, adalah sederhana dan boleh diurus. GST tidak menyebabkan berlaku peningkatan tingkat harga dan sebaliknya pelaksanaan GST telah membantu menstabilkan ekonomi negara ketika kejatuhan harga minyak yang mendadak pada tahun 2015. Hasil yang diperolehi daripada kutipan GST ini telah membolehkan kerajaan membangunkan ekonomi negara kerana lebih banyak dana yang dapat disalurkan ke dalam projek-projek pembangunan negara untuk kemajuan ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi.

Kerajaan juga telah menggunakan hasil GST bagi membangunkan infrastruktur sosial seperti kemudahan dan institusi kesihatan, infrastruktur pendidikan dan kemudahan awam untuk meningkatkan lagi taraf hidup Kesan pengagihan semula hasil GST ini telah mengurangkan jurang perbezaan pendapatan di kalangan rakyat Malaysia dan membantu menstabilkan ekonomi kumpulan berpendapatan sederhana B40.

Jika dilihat dari aspek statistik, pada tahun 2016, kadar kemiskinan bagi Malaysia telah berkurang kepada 0.4% daripada 0.6% pada tahun 2014. Selain itu, jurang pendapatan di antara isi rumah di Malaysia berkurang secara progresif dengan kumpulan B40 meningkat daripada RM2,629 pada tahun 2014 kepada RM3,000 pada tahun 2016 dengan kadar pertumbuhan sebanyak 6.6% setahun.

Manfaat yang diperoleh daripada pelaksanaaan GST tinggi terutama bagi kelestarian dan pembangunan ekonomi negara dan hal ini telah menyebabkan banyak negara memperkenalkan sistem ini. Di kalangan 10 negara Asean, Malaysia merupakan negara ke-8 yang memperkenalkan GST.

Negara Tahun Implementasi Kadar Semasa (%)
Korea Selatan 1977 10
China 1980 17
Indonesia 1984 10
New Zealand 1985 12.5
Jepun 1989 8
Thailand 1992 7
Singapura 1993 7
United Kingdom 1994 17.5
Filipina 1998 12
Kemboja 1999 10
Vietnam 1999 10
Australia 2000 10
India 2005 12.5
Laos 2009 10
Malaysia 2015 6

Jadual di atas juga menunjukkan kadar GST atau VAT yang telah diperkenalkan di beberapa negara dan dapat dilihat dengan jelas kadar GST Malaysia merupakan kadar yang terendah di kalangan negara Asean dan kebanyakan negara Asia yang lain.

Terdapat pihak yang mengatakan kadar GST di India adalah lebih rendah berbanding Malaysia iaitu hanya 5%. Perkara ini adalah tidak tepat. Kita perlu faham bahawa India mempunyai kadar GST yang berbeza mengikut kategori produk di mana sebahagian produk asas berada di dalam lingkungan 0%-5% dan yang lain 12% – 28%. Di Malaysia, terdapat barangan dan perkhidmatan yang dikenakan GST 0% iaitu kebanyakkan barangan keperluan harian dan beberapa perkhidamatan asas. Di samping itu, terdapat juga kategori yang tidak dikenakan GST iaitu bagi barangan logam berharga seperti emas, perak, platinum, kemudahan kewangan, perkhidmatan pendidikan, jagaan kesihatan, pengangkutan awam, lebuh raya bertol, petrol RON95, diesel dan beberapa yang lain.

Secara kesimpulannya, pelaksanaan GST terbukti tidak menyebabkan berlaku peningkatan harga seperti yang digembar-gemburkan, sebaliknya dapat membantu meningkatkan ekonomi negara dan melestarikan pembangunan negara. Namun, kerajaan harus memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan ini untuk meningkatkan harga bagi meraih keuntungan yang lebih besar kerana hal ini akan membebankan rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here