Wednesday, July 26, 2017
Home News Griezmann Setuju Sertai Manchester United

Griezmann Setuju Sertai Manchester United

120
0
Griezmann

MANCHESTER – Penyerang sensasi Perancis, Antoine Griezmann bersetuju menyertai Manchester Uni­ted (MU) musim depan selepas peluang Atletico Madrid untuk memburu tiket final Liga Juara-Juara tampak tipis ekoran kekalahan 0-3 kepada Real Madrid dalam separuh akhir pertama, kelmarin.

Akhbar Britain, The Sun me­laporkan, United dan Griezmann telah mencapai persetujuan me­ngenai terma peribadi yang bakal membawa pemain berusia 26 tahun itu ke Old Trafford dengan gaji lumayan 280,000 pound (RM1.56 juta) seminggu.

Menurut laporan itu lagi, Red Devils juga bersetuju untuk membayar 89 juta pound (RM495.5 juta) bagi menebus kontrak Griezmann, dan jika dicampur dengan gaji serta bonus pemain berkenaan, gergasi Liga Perdana Inggeris tersebut perlu mengeluarkan kos keseluruhan 170 juta pound (RM947 juta).

Griezmann menjadi sasaran No. 1 Jose Mourinho untuk menguatkan cabaran United dalam misi mencabar kejuaraan Liga Perdana, musim depan.

Dia sebelum ini enggan me­ngulas mengenai spekulasi perpindahannya ke England kerana mahu menunggu sama ada Red Devils mampu layak ke Liga Juara-Juara atau tidak.

United bagaimanapun berjaya meyakinkan pemain tersebut de­ngan menggandakan tawaran daripada kontrak asal, selain menjanjikan beberapa insentif lain.

Skuad bimbingan Mourinho kini berada di luar kedudukan untuk layak ke kejohanan kelab elit Eropah itu selepas menghuni tangga kelima liga, namun masih bersaing di separuh akhir Liga Europa. Juara Liga Europa akan diberi tiket ke Liga Juara-Juara.

Sedar bahawa mereka bakal kehilangan Griezmann, Atletico kini mula mengorak langkah mencari penggantinya dengan menyasarkan penyerang Arsenal, Alexis Sanchez dan Alexandre Lacazette dari Lyon.

United pula sedang menyiapkan dokumen pendaftaran pemain sebelum pasaran perpindahan dibuka hujung bulan ini dan Mourinho menjangkakan Griezmann akan melapor diri dalam latihan pramusim, Julai nanti. – AGENSI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here