Pakatan Harapan (PH) cuba menampilkan imej demokratik di khalayak ramai dengan melihatkan bagaimana mereka bersungguh-sungguh memutuskan keputusan secara bersama-sama. Malah PH juga cuba memperdaya rakyat dengan melihatkan kesepakatan yang sedang dijalinkan di antara mereka sukar untuk dipecahkan. Namun hakikatnya kita semua tahu bagaimana perpaduan ialah sesuatu yang mustahil untuk dicapai di dalam pakatan pembangkang ini.

Setiap hari ada sahaja kita mendengar berita tentang suara-suara tidak puas hati dalam kalangan anggota dan pemimpin pakatan ini. Malah suara ini makin lama makin sumbang sehingga menyebabkan rakyat semakin hilang minat terhadap mereka. Anak-anak muda yang dahulu dilihat rapat dengan PH kini sudah beralih arah malah ada antara mereka menggerakkan kempen undi rosak yang jelas disasarkan kepada PH.

Mengapakah keadaan ini semua berlaku? Kita boleh memahaminya dengan mudah tanpa perlu mempelajari ilmu di Sekolah Politik. Ini semua berlaku kerana PH hanya menjual mimpi dan bukan kebenaran. Bayangkan anak-anak muda yang dahulunya turun berdemonstrasi kerana menganggap bahawa PH ialah harapan penting kepada masa depan Malaysia, kini sudah tidak lagi menyokong pakatan berkenaan. Malah mereka yang kelihatan segan-segan untuk menyokong Barisan Nasional (BN) telah menggerakkan kempen undi rosak.

Anak-anak muda ini kebanyakannya berlatarbelakangkan aktivis dan mereka sebelum ini cukup rapat dengan barisan pemimpin pembangkang. Namun selepas Tun Dr Mahathir Mohamad diberikan mandat untuk menjadi Perdana Menteri jika PH menang dalam pilihan raya umum akan datang, mereka sudah merasa tertipu. Malah mereka juga merasakan perjuangan yang dilaung-laungkan selama ini hanya jadi sisa yang sia-sia.

Begitulah keadaannya dalam PH bagaimana mereka lebih mementingkan suara elit berbanding suara akar umbi dan anak-anak muda yang mendokong mereka selama ini. Kini gerakan undi rosak yang sedang disebarkan jelas akan memberikan kesan negatif terhadap undi golongan muda terhadap PH. Pakatan pembangkang ini amat berharap dan bergantung kepada undi golongan muda untuk terus mara, tetapi kini undi golongan muda sudah terpecah dan tidak lagi menjadi milik mereka seperti yang dimimpikan sebelum ini.

Dengan senario semasa ini, BN sedang berdepan kemungkinan positif untuk merampas kembali kerusi-kerusi yang dimenangi PH sebelum ini atas kapasiti undi golongan muda. Malah kempen undi rosak ini dilihat hampir tidak memberikan kesan langsung kepada BN, sebaliknya PH yang wajar berfikir beberapa kali kerana mereka sudah kehilangan sokongan golongan muda di tahap yang parah.

Namun pesanan kepada kelompok anak muda yang kecewa dengan PH, janganlah disia-siakan undi anda itu hanya semata-mata untuk dirosakkan. Anda boleh memberikan satu undi kepada BN untuk masa depan golongan muda yang lebih cerah dan cemerlang seiring dan bersama-sama untuk menjayakan agenda Transformasi Nasional 2050.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here