Jaringan lewat Thanabalan Nadarajah sudah cukup membawa skuad Malaysia Bawah 22 Tahun (B22) ke perlawanan akhir Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017) untuk bertemu juara bertahan, Thailand pada minggu depan apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Indonesia, di sini pada Sabtu.

Kemenangan itu amat bermakna buat anak buah Datuk Ong Kim Swee bagi menjelmakan harapan bagi meraih ibu emas temasya terulung Asia Tenggara itu, sekali gus menghampiri misi kontinjen Malaysia memburu 111 pingat emas secara keseluruhan.

Harimau Malaysia bermula garang sebaik-baik wisel sepak mula dibunyikan apabila penyerang sensasi B22, Thanabalan memperoleh dua peluang untuk mendahului permainan.

Peluang pertama diperoleh seawal minit kedua tetapi penjaga gol Indonesia, Satria Tama Hardiyanto lebih pantas menghidu hantaran lintang Safawi untuk melakukan tangkap kemas walaupun dicabar oleh Thanabalan.

Selang dua minit kemudian, Thanabalan memperoleh satu lagi peluang untuk menjaringkan gol pembukaan selepas menerima hantaran daripada Safawi Rasid tetapi tandukannya gagal menemui sasaran walaupun pintu gol sudah terbuka luas.

Pasukan Indonesia nyaris mengejutkan tuan rumah pada minit ke-13 apabila tumbukan penjaga gol Malaysia, Haziq Nadzli  untuk mengeluarkan bola dari kawasan bahaya sekadar singgah di kaki pemain lawan, Yabes Roni Malaifani yang terus melakukan rembatan ke arah pintu gol.

Mujur pemain pertahanan Malaysia, Adam Nor Azlin berada di posisi yang betul untuk menghalang rembatan Malaifani, sekali gus menyelamatkan gol daripada dibolosi.

Tempoh 15 minit pertama menyaksikan Malaysia lebih banyak menguasai permainan dengan mengatur gerakan di bahagian kiri menerusi Safawi.

Indonesia sekali lagi cuba melakukan kejutan dan kali ini penyerang utamanya, Ezra Harm Ruud Walian gagal menolak masuk hantaran lintang daripada Septian David Maulana.

Malaysia terpaksa melupakan khidmat S. Kumahraan pada minit ke-25 selepas dia mengalami kecederaan akibat dikasari dan digantikan dengan Jafri Firdaus Chew.

Jafri tidak menunggu lama untuk menguji ketangkasan Hardiyanto yang terpaksa melayangkan badan untuk menepis rembatan pemain gantian Malaysia itu jarak dekat susulan daripada sepakan penjuru pada minit ke-30.

Bagaimanapun tempoh lima minit terakhir sebelum tamat separuh masa pertama menyaksikan skuad Harimau Malaysia mula hilang penguasaan bola dan lebih banyak bermain hantaran jarak jauh untuk melakukan serangan.

Keputusan 0-0 kekal sehingga separuh masa pertama.

26 August 2017

Malaysia bermula hambar di babak kedua dengan beberapa kesilapan mudah mengundang bahaya kepada gawang gol sendiri apabila Indonesia melancarkan serangan balas.

Mujur kekentalan barisan pertahanan terutamanya terjahan tepat Nor Adam dapat mematahkan serangan berbahaya Indonesia.

Namun gawang Malaysia cemas pada minit ke-63 apabila satu lagi serangan balas Indonesia nyaris membuahkan hasil tetapi percubaan Evan Dimas Darmono sedikit tersasar.

Tersentak dengan amaran itu, Malaysia cuba mengasak kembali dengan percubaan Jafri yang melakukan tandukan hasil sepakan penjuru Safawi pada minit ke-65.

Dua serangan balas itu merancakkan kembali rentak permainan dan Walian memperoleh peluang untuk membuka tirai jaringan selepas bijak memperdayakan perangkap ofsaid barisan pertahanan Malaysia tetapi gagal melepaskan rembatan walaupun hanya berdepan seorang pemain pertahanan dan penjaga gol.

Jafri sekali lagi mencuba mencari gol pertama perlawanan tetapi tandukannya gagal menemukan gawang gol lawan selepas menerima hantaran daripada sepakan percuma.

Sorakan padu kira-kira 80,000 penyokong setia yang memenuhi Stadium Shah Alam ternyata sukar menguggat kekentalan barisan pertahahan Indonesia yang sering mematahkan serangan Malaysia.

Gol yang dicari-carinya akhirnya muncul pada minit ke-86 apabila Thanabalan menebus kekecewaan di separuh masa pertama apabila menanduk masuk sepakan penjuru Jafri.

Gol berkenaan sudah cukup membawa Malaysia melangkah ke final untuk bertemu Thailand pada perlawanan akhir di Stadium Juara Bukit Jalil pada 29 Ogos nanti.

Terdahulu, Thailand terpaksa berhempas-pulas menewaskan Myanmar dengan kemenangan tipis 1-0 selepas ketua pasukan Chenrop Samphaodi muncul wira Thailand apabila menanduk masuk gol kemenangan pada masa kecederaan babak kedua. – MStar Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here