Khairy Jamaluddin, Minister of Youth and Sports

KUALA LUMPUR 25 Ogos – Syarikat milik kerajaan (GLC) digesa memberi peluang kepada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) untuk menceburi bidang-bidang tertentu.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (gambar) berkata, sesebuah GLC boleh berbuat demikian dengan menjual aset-aset yang tidak melibatkan perniagaan teras mereka kepada golongan usahawan yang bersemangat dalam bidang tersebut.

Katanya, GLC berkenaan perlu mencontohi Malaysian Resources Corporation Bhd. (MRCB) yang menjual MRCB Technologies Sdn. Bhd iaitu syarikat teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) kepada pihak pengurusannya, di bawah nama baharu iaitu XMT Technologies Sdn. Bhd. (XMT Technologies).

“Terdapat persepsi bahawa peluang perniagaan telah dimonopoli oleh syarikat-syarikat besar. Sehubungan itu, saya melihat bahawa sudah tiba masanya bagi usahawan tempatan diberikan peluang.

“Penjualan aset-aset bukan teras perniagaan GLC ini memberikan banyak manfaat kepada semua pihak terutama terhadap sektor pembangunan usahawan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandata­ngani memorandum persefahaman (MOU) antara XMT Technologies, DAMM Cellular Systems (DAMM) dari Denmark dan 3Roam dari Pe­rancis berhubung penjualan produk 3Roam Aero di Malaysia.

Yang turut hadir, Pengerusi XMT Technologies, Datuk Ramli Kalam.

Dalam pada itu, Ramli membe­ri­tahu, kerjasama bersama DAMM dan 3Roam itu dijangka meningkatkan pendapatan XMT Technologies sebanyak 25 peratus pada masa depan.

Beliau yakin, strategi dalam memperkenalkan produk dari kedua-­dua syarikat luar itu akan membuahkan hasil di negara ini.

“Kita juga menyasarkan XMT Technologies disenarai pada Bursa Malaysia dalam masa lima tahun lagi melalui pelan strategik yang digariskan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here