Slogan untuk sentiasa mengutamakan ketelusan dalam setiap urusan pentadbiran serta terbuka dalam menjawab setiap persoalan merupakan antara retorik yang selalu kita dengar daripada bicara pemimpin-pemimpin PH. Malah ini sudah seperti satu gula-gula yang disuapkan ke mulur rakyat untuk memastikan apa yang diucapkan mereka kelihatan manis dan benar. Namun begitu, sudah tentu ada hal-hal yang disembunyikan dalam setiap bicara manis ini. Jelas rakyat sering diperguna untuk kepentingan politik masing-masing.

Selain daripada menyalahkan Kerajaan, PH juga sering lari dari tanggungjawab untuk melihat isu-isu yang terpalit kepada mereka. Pelbagai isu cuba dialihkan dan tidak diberikan jawapan konkrit. Malah dalam sesetengah hal apa yang cuba dijawab kelihatan seperti telah diputar belit dan tidak benar sama sekali. Apa yang penting leher sendiri perlu dilepaskan walaupun terpaksa menyembunyikan kebenaran. Ini yang berlaku dalam PH dan ia sebenarnya satu hal yang tidak sihat kepada perkembangan politik negara.

Kita dapat melihat bagaimana Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti tidak mempedulikan apa yang berlaku terhadap isu NFC. Walaupun beliau ialah menteri bertanggungjawab terhadap kelulusan projek itu pada 2006 sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Setelah didesak berkali-kali akhirnya Muhyiddin membuka mulut, namun jawapan yang diberikan beliau jelas tidak bertanggungjawab dan tidak mahu melihatkan dirinya berada di pihak yang salah. Beliau cuba melepaskan diri dengan memberikan jawapan-jawapan yang sebenarnya melihatkan kepincangan kredibiliti beliau sebagai pemimpin.

Beliau mengakui menandatangani kelulusan untuk projek berkenaan, namun beliau tidak mahu dipalitkan dengan nasib projek itu sendiri. Malah untuk lebih memudahkan jawapannya kepada pihak media, beliau juga menjawab ‘tidak ingat’ dengan alasan isu berkenaan sudah terlalu lama. Adakah Muhyiddin cuba membuktikan kepada kita bahawa tugas beliau sebagai Menteri pada ketika itu hanya menurunkan tandatangan dan tidak mempedulikan lagi tentang apa yang terjadi kepada projek berkenaan.

Jika benar itu pandangan Muhyiddin tentang tugas dan kuasa seorang Menteri, maka rakyat sudah boleh menilai bagaimana merosotnya kualiti kepimpinan yang ada di dalam PH. Seorang menteri yang bertanggungjawab wajar memberikan penjelasan dengan baik sehingga mampu menepis sebarang dakwaan dan salah faham yang berlaku. Sewajarnya Muhyiddin mengambil contoh daripada Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad yang tidak gentar berdepan dengan kebenaran demi menjunjung prinsip integriti dan tadbir urus berkualiti di dalam organisasinya sendiri.

Percubaan Muhyiddin untuk berdalih dan seterusnya mengeluarkan jawapan tidak ingat melihatkan kepada kita bahawa sindrom mudah lupa ini ialah penyakit paling bahaya yang sedang merebak ke pemimpin-pemimpin PH. Ubatnya hanya ada di tangan rakyat dan hanya rakyat mampu merawat mereka dengan menolak pemimpin sebegini di waktu pilihan raya umum akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here