Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan blogger Raja Petra Kamarudin mengatakan beliau bayar RM1 bilion kepada Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang untuk menjadi Pengerusi Pakatan Harapan.

Mahathir berkata, kenyataan Raja Petra ‘tidak siuman’ kerana sekadar bercakap tanpa bukti.

“Cuma orang gila saja boleh fikir saya ada RM1 bilion. Saya (bekas) perdana menteri mempunyai rumah lebih kecil daripada menteri biasa, kerana saya cuma belanja duit yang ada.

“Kalau saya ada RM1 bilion, saya tak duduk macam ni, saya beli kapal terbang, kapal, macam-macam.

“Saya ingat Raja Petra ini dah tidak siuman, kalau dia siuman tunjuk buktilah,” katanya melalui satu rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook Bersatu, semalam.  Mahathir juga mencabar Raja Petra untuk bercakap sambil mengemukakan bukti, kemudian dedahkan perkara itu kepada seluruh dunia.

“Tak usah cakap macam itu saja, cakap mudah tapi nak tunjuk bukti ada? Beritahu semua dunia bahawa saya ada RM1 bilion,” katanya.

Sabtu lalu, Raja Petra menerusi portal mendakwa, Mahathir memberi Kit Siang RM1 bilion bagi membolehkan beliau menjadi Pengerusi Harapan yang diketuai DAP.

Perjanjian bayaran itu juga didakwa libatkan beberapa perkara lain termasuk Kit Siang tidak akan dedahkan skandal forex Bank Negara dan berikan kerusi parlimen selamat untuk anak Mahathir, Datuk Seri Mukhriz bertanding pada PRU14.

Susulan pendedahan itu, bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim pula meminta Mahathir dan Kit Siang tampil membuat penafian.

“Jika tidak betul, Mahathir dan Kit Siang perlu saman Raja Petra kerana fitnah mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here