MASYARAKAT Malaysia pasti jarang mendengar acara Ghazal parti kecuali masyarakat di Pulau Pinang dan Johor. Namun begitu, ia bukan bermakna seni persembahan itu kurang mendapat sambutan atau tidak mempunyai pengikutnya tersendiri.

Baru sahaja dipentaskan di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan, Ghazal Parti nyata memberikan sisi berbeza dalam bidang seni Malaysia.

Program yang dianjurkan di bawah Panggung Seni Tradisional 2015 oleh JKKN, Petronas dengan kerjasama Persatuan Karyawan Pulau Pinang pada 28 dan 29 Ogos itu berjaya mendapat sambutan hebat daripada peminat-peminatnya.

Sedikit mengenai Ghazal Parti, ia merupakan gabungan persembahan muzik, nyanyian, tarian dan jenaka.

Menurut Pengarah produksi Ghazal Parti, Profesor Dr Sohaimi Abdul Aziz, Ghazal Parti mendapat pengaruh dari Timur Tengah dan lagu-lagunya berunsurkan irama padang pasir yang mana liriknya pula dalam bahasa Arab atau Melayu.

“Ghazal berasal daripada perkataan Arab, ghaz yang bermaksud nyanyian yang ditujukan kepada wanita.

“Daripada segi bahasa ia bermaksud mainan cinta, dalam bentuk puisi, ucapan atau ungkapan berbaur cinta yang diluahkan kepada wanita.

“Perkataan Parti itu sendiri bermaksud kemeriahan,” katanya.

Jelasnya, Ghazal Parti mula berkembang di negeri-negeri sekitar utara semenanjung seperti di Pulau Pinang, Kedah dan Perak dan sering dipersembahkan di majlis-majlis keramaian.

“Di dalam sebuah kumpulan Ghazal Parti terdapat lebih kurang 8 hingga 12 orang pemuzik dan ia bergantung kepada peralatan muzik yang digunakan.

“Antara peralatan muzik Ghazal Parti ialah akordion, biola, gambus, seruling, gitar bass, drum, rebana, bongo, tamborin, romba dan marakas,” katanya.

Berbicara lanjut, akui Dr Sohaimi, pada awalnya penari Ghazal Parti ialah lelaki yang berpakaian wanita.

“Mereka menggunakan pakaian wanita seperti tudung, kain batik dan baju kurung berserta solekan yang nipis.

“Ini kerana dalam persembahan Ghazal Parti, wanita tidak dibenarkan menjadi penari.

“Bagaimanapun, pada 1950-an, muncul penari-penari mak nyah atau pondan menjadi penari Ghazal Parti,” ujarnya.

Sementara itu, menarik mengenai Ghazal Parti adalah elemen jenaka yang diselitkan berfungsi ketika mengisi masa rehat pemuzik dan penyanyi.

“Dalam persembahan Ghazal Parti, pemuzik dan penyanyi akan berehat sebanyak dua hingga tiga kali dan ketika itulah, ruang itu akan diisi oleh pelawak yang membawakan jenaka berkisar hal-hal semasa.

“Biasanya penggemar seni tanah air lebih mengenali irama ghazal dari Johor berbanding ghazal parti yang popular di Pulau Pinang. Sebutan nama kedua-duanya sama, tapi persembahannya sedikit berbeza,” jelasnya.

Gabungan muzik, jenaka pukau penonton

Bagi mereka yang hadir pada malam persembahan Ghazal Parti, pastinya masih terbayang-bayang di mata mereka akan kemeriahan dan sentuhan persembahan yang hebat itu.

Mengandungi dua segmen iaitu ghazal parti dan ghazbo, persembahan tersebut telah mengambil durasi selama satu jam 15 minit.

Menyentuh mengenai segmen pertama, kehangatan mula terasa apabila penampilan ghazal parti dari Tanjung Penaga yang menggabungkan pemuzik lama dan baru.

Lebih menarik pada malam prebiu media yang diadakan, tiga penyanyi iaitu Fairuz Selamat, Wan Adlyn Maasyah Mohamad Shah dan Noor Intan Ishak telah diberi tanggungjawab menyampaikan enam lagu popular Nour El Chams, Al Baladi, Penawar Rindu, Kun Anta dan Laksamana Raja Di Laut.

Kepada yang sudah sinonim dengan ghazal parti, lagu Arab sememangnya menjadi asas kepada persembahan ghazal parti.

Apa yang membanggakan, pada malam itu, semua penyanyi berjaya mencuri tumpuan penonton kerana mampu menyanyikan lagu yang dibawa dengan baik.

Pada masa sama, persembahan berkenaan turut diiringi penari yang menari tarian gelek Mesir sekaligus mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.

Sementara itu, bagi peminat seni boria, persembahan ghazbo pastinya dinantikan mereka. Ini kerana seni itu merupakan persembahan berkonsep eksperimental yang diselitkan unsur boria.

Menerusi persembahan malam itu, 10 penari telah tampil mengiringi persembahan penyanyi di pentas.

Istimewanya, nyanyian yang disampaikan berasaskan syair yang dikenali sebagai syair ghazbo.

Dr Sohaimi memberitahu, syair ghazbo adalah sejenis puisi yang mempunyai empat baris serangkap dengan rima akhir yang sama dengan kandungannya berkisarkan sejarah ghazal parti dan boria.

“Ghazal parti dan ghazbo sangat berbeza daripada persembahan biasa kerana ia bukan sekadar hiburan semata-mata sebaliknya mempunyai mesej yang disampaikan menerusi lagu dinyanyikan.

Penampilan Man Belon

Seperti yang disebutkan, seni budaya ghazal parti tidak lengkap tanpa kehadiran pelawak dengan jenaka-jenaka mereka.

Kali ini, pihak penganjur telah memilih pelawak popular tempatan iaitu Man Belon yang diberi peranan sebagai pengacara program itu.

Selain bertindak sebagai pengacara, dia turut menyelitkan pelbagai jenaka dan komedi spontan sehingga membuatkan penonton tidak kering gusi.

Malah, Man sempat mengusik penari-penari ketika membuat persembahan bersama artis.

Mengulas lanjut mengenai program itu, Dr Sohaimi berkata, penganjuran berterusan diperlukan bagi memastikan seni tersebut bertahan dan tidak pupus.

“Bagaimanapun untuk menyesuaikan dengan zaman kini serta generasi muda yang jiwanya lebih pelbagai, seni ini perlu ditransformasikan.

“Dengan menyerapkan idea segar dan baharu, saya pasti mereka akan lebih berminat mendekatkan diri seni seni budaya yang cukup unik ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here