malaysia

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu generasi baharu terus menjadi pemangkin yang membawa Malaysia ke peringkat lebih tinggi.

Najib berkata generasi baharu perlu mengambil iktibar betapa sukarnya negara mencapai kemerdekaan dan mengekalkannya dalam tempoh 60 tahun.

“Betapa sukarnya kita nak capai kemerdekaan pada peringkat permulaan. Betapa besarnya cabaran yang ada di hadapan kita. Bila kita lihat sambutan tahun ini, kita dapat rasa apa yang kita telah capai selama 60 tahun ini adalah kejayaan yang sangat-sangat cemerlang,” katanya semasa berucap ketika meninjau raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan 2017 di Dataran Merdeka.

Beliau berkata generasi muda hari inilah penyambung generasi Transformasi Nasional (TN 50) yang akan membawa Malaysia ke peringkat lebih tinggi di mata dunia.

“Ingat kata-kata ini, perjalanan perlu kita teruskan sehingga Malaysia sampai ke puncak kejayaan,” pesan perdana menteri yang memberikan kata-kata semangat kepada peserta acara persembahan, umumnya terdiri daripada pelajar sekolah serta anggota jabatan dan agensi kerajaan.

Perdana menteri turut berpuas hati dengan persiapan akhir sambutan Hari Kebangsaan 2017 yang melibatkan 18,000 peserta termasuk pelajar sekolah dan kumpulan pasukan beruniform itu.

“Saya berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan semua peserta yang dilihat dapat menyampaikan mesej sambutan 60 tahun kemerdekaan negara. Mudah-mudahan pertunjukan ini akan menjadi persembahan yang tidak dapat dilupakan oleh setiap rakyat Malaysia,” katanya.

Najib, tiba kira-kira 8.15 pagi ini diiringi Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Dr Sharifah Zahrah Syed Ahmad untuk menyertai dan melihat sendiri perjalanan  raptai terakhir sambutan Hari Kebangsaan 2017, yang berlangsung pada Khamis.

Dalam raptai penuh itu perdana menteri melaungkan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali sebagai mengimbas kembali detik bersejarah yang pernah dilakukan oleh perdana menteri pertama Malaysia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Sambutan bertemakan ’Negaraku Sehati Sejiwa’ mengembalikan semula nostalgia sambutan kemerdekaan pada 1957, selain mengimbas pengisytiharan Hari Malaysia, era pembangunan negara bawah kepimpinan perdana menteri Malaysia kedua hingga keenam, serta kejayaan dan pembangunan yang dikecapi negara hingga hari ini.- Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here