Kementerian Pendidikan sedang meneliti bentuk ganjaran yang akan diberikan kepada pelajar dan guru yang berjaya meraih pingat pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), kata Timbalan Menterinya Datuk Chong Sin Woon.

Beliau berkata bentuk ganjaran itu akan diumumkan oleh Menteri berkenaan Datuk Seri Mahdzir Khalid apabila telah diputuskan kelak.

“Kita tunggu pengumuman daripada menteri sendiri,” katanya kepada Bernama selepas majlis sambutan Aidiladha bersama jemaah Masjid Kariah Kampung Dacing dan Masjid Kariah Taman Panchor Jaya pada Sabtu.

Pada 8 Ogos lalu, Mahdzir berkata kementerian itu akan memberikan insentif istimewa kepada atlet pelajar dan guru yang berjaya meraih pingat pada temasya KL20017 yang menyaksikan 134 pelajar dan lima guru terpilih mewakili negara.

Mereka merangkumi 67 dari Sekolah Sukan Malaysia, 47 dari sekolah harian, sekolah swasta (16), kolej vokasional (3) dan seorang dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Antara mereka ialah pemain badminton perseorangan wanita negara Goh Jin Wei, Grace Wong (baling tukul besi), jaguh pecut Asia Tenggara Khairil Hafiz Jantan dan Badrul Hisyam Abdul Manap manakala atlet guru antaranya ialah kapten pasukan hoki Sukri Mutalib, Puah Pei San (bola jaring) dan Ahmad Faiz Noor (kriket).

Mengulas lanjut, Chong berkata pihaknya tidak gusar dengan prestasi pelajaran atlet terbabit  memandangkan kebanyakkan latihan diadakan selepas sesi persekolahan.

“Sebenarnya jika kita melihat rekod, ramai atlet yang mencapai keputusan yang baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia walaupun kadang-kadang mereka lebih menumpukan perhatian kepada sukan bagi mencapai pencapaian yang lebih tinggi,” katanya.

Pada 30 Ogos lepas, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail dilapor berkata temasya Sukan SEA edisi ke-29 ini merupakan platform pertama bagi atlet muda membuktikan kemampuan mereka untuk dipilih ke kejohanan besar seperti Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Menurut beliau, pencapaian di sini secara tidak langsung menunjukkan Malaysia tidak ketandusan atlet pelapis apabila 261 daripada 844 atlet negara adalah berusia bawah 21 tahun, malah pencapaian Khairul Hafiz Jantan dan Grace Wong dalam sukan olahraga umpamanya, menunjukkan program-program pembangunan sukan yang dilaksanakan telah menunjukkan hasil positif. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here