BUAT ke sekian kalinya, bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menuding jari menyalahkan pihak lain atas kecuaian dan kesilapan sendiri. Kecewa kerana partinya PPBM berhadapan risiko pengharaman, dan entiti gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH) pula masih belum dapat didaftarkan secara sah, Mahathir secara berterusan menyalahkan kerajaan sebagai dalang yang campur tangan dalam urusan mereka dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Kata Mahathir, ketiadaan kenyataan jelas daripada JPPM mengenai status permohonan PH adalah satu taktik untuk mengelirukan pengundi menjelang pilihan raya umum (PRU) yang akan datang. Mengenali Mahathir, beliau tidak mungkin hanya menyalahkan JPPM secara terus dalam hal ini. Sudah tentulah secara tersiratnya, kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) jugalah yang dituding sebagai mastermind.

Tiada Keperluan Bertemu Zahid

Justeru, tidak hairanlah mengapa kecewa benar Mahathir apabila beliau gagal berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk ‘berbincang’ mengenai perihal pendaftaran tersebut. Umum mengetahui Mahathir dan kesemua pemimpin tertinggi blok pembangkang iaitu PKR, DAP, AMANAH dan PPBM termasuklah beberapa pemimpin lainnya berkunjung ke KDN di Putrajaya Isnin lalu bagi berbincang dan mendapatkan penjelasan kementerian berkenaan mengenai status pendaftaran pakatan mereka termasuklah keputusan mereka untuk menggunakan satu nama dan lambang menjelang PRU kelak.

Dalam proses tersebut, mereka telah diberikan penerangan sewajarnya oleh Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim memandangkan Zahid pada ketika itu mempunyai urusan dengan Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak.

Maka, kekecewaan Mahathir berikutan kegagalannya bertemu dengan Zahid begitu sukar difahami. Penjelasan yang ditunggu selama ini telahpun diberikan Alwi sebagai individu yang mengepalai kementerian. Mengapa perlu juga dicari Zahid sedangkan KDN sendiri sebelum ini sudahpun memaklumkan bahawa mereka tidak sesekali campur tangan dalam urusan pendaftaran pakatan itu dengan JPPM? Apakah pula keperluan Zahid bertemu dengan kesemua pemimpin pembangkang tersebut sedangkan perkara dan perbincangan tersebut boleh diselesaikan di peringkat pegawai?

Masalah Ada Pada PH Sendiri

Bercakap mengenai kegagalan PH didaftarkan secara sah dan rasmi, justifikasi yang diberikan KDN dan JPPM sendiri jelas yang mana ianya berkait rapat dengan PPBM dan DAP. PPBM masih gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) walaupun telah lebih setahun ditubuhkan, menggunakan nama sayap yang tidak ada dalam perlembagaan parti, dan DAP pula sehingga kini masih belum menghantar laporan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) mereka. Bukti-bukti ini menunjukkan ‘kelengahan’ pendaftaran PH sebagai sebuah pakatan adalah disebabkan masalah yang dicipta oleh mereka sendiri.

Jadi apa perlunya berjumpa menteri sedangkan masalah yang sebenarnya ada pada mereka sendiri? Bukankah mereka sahaja yang ada kuasa dan kemampuan untuk menyelesaikan masalah tersebut? KDN dan menteri sendiri tidak akan mampu berbuat apa-apa sekiranya mereka sendiri tidak membetulkan kesilapan mereka. Maka tepatlah keputusan Zahid untuk tidak membuang masanya sebagai timbalan perdana menteri dalam melayan karenah Mahathir. Dalam hal ini, bekas perdana menteri itu tentunya akan mempolitikkan ‘ketiadaan’ Zahid, memberikan gambaran bahawa timbalan perdana menteri itu ‘takut’ untuk berhadapan dan memberikan penjelasan kepada kepimpinan PH.

PPBM Bukti Kegagalan Mahathir

Permainan seumpama ini walau bagaimanapun sudah boleh diagak bagi mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu yang membelenggu parti Mahathir sendiri. Sudah lebih setahun ditubuhkan, PPBM tampak seolah hanya wujud pada nama. Kekuatan yang digembar-gemburkan selama ini tidak pun pernah diterjemahkan dalam bentuk kesepakatan ahli. Mesyuarat cawangan pun hampir langsung tidak ada, apatah lagi AGM. Sambutan terhadap kesemua majlis dan himpunan yang dianjurkan mereka pula dingin sama sekali. Jika tidak kerana sokongan daripada komponen-komponen PH yang lain, agaknya PPBM ini boleh sahaja terlihat sebagai sebuah parti syok sendiri.

Apa lagi yang hendak dan boleh dikatakan. Semuanya tampak serba tidak kena dan porak-peranda untuk PPBM. Mereka seolah-olah hanya mampu ‘bernafas’ dan bergantung harap kepada komponen-komponen PH yang lain. Agak memalukan bagi Mahathir selaku seorang bekas perdana menteri yang memerintah negara selama 22 tahun apabila parti yang baru ditubuhkannya lebih setahun kini umpama retak menanti belah. Soal pendaftaran parti sepatutnya menjadi hal yang sangat mudah diuruskan oleh seorang ahli politik yang berpengalaman sepertinya. Tetapi perkara sekecil itu pun nampaknya susah benar hendak diselesaikan, membayangkan betapa kurang dan rendahnya kualiti kepimpinan yang ada dalam PPBM. Jadi dengan kualiti sebegini, bagaimanalah rakyat hendak menaruh harapan terhadap kepimpinan mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here