AKSI pertama skuad futsal wanita Malaysia dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bermula baik apabila menewaskan Myanmar 2-1 di Kompleks Sukan Panasonic.

Malaysia, dikejutkan dengan jaringan pertama pasukan lawan pada minit kedua menerusi Pa Pa Win.

Namun, skuad negara kembali fokus dan bangkit pada babak kedua apabila pemain gantian, Zur’ain Kamarudin menyumbat gol pertama Malaysia pada minit ke-36.

Kompleks Sukan Panasonic sekali lagi gemuruh dengan tepukan dan sorakan penyokong Malaysia apabila Norhawa Md Yasin menambah satu lagi jaringan untuk skuad negara berselang tiga minit selepas itu.

Sementara itu, Muizzudin dalam sidang media selepas itu mengakui bahawa pemainnya ‘lambat panas’ pada sepuluh minit awal malah banyak melakukan kesilapan yang mudah.

“Kita banyak sia-siakan peluang gol. Kesudahan juga agak tumpul. Tujuh atau lapan gol boleh terhasil jika pemain lebih bersabar dalam serangan.

“Kami akan cuba perbaiki benteng pertahanan dan bahagian serangan yang dilihat agak longgar dalam menghadapi perlawanan seterusnya iaitu menentang Indonesia pada Ahad ini,” katanya.

Ketua jurulatih pasukan Myanmar, Htay Myint pula menyatakan corak permainan skuad Malaysia yang banyak menyerang pada separuh masa kedua membolehkan skuad negara menyamakan kedudukan dan seterusnya menambah jaringan. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here