Kecoh satu negara apabila semalam berlakunya insiden memalukan semasa berlangsungnya Forum Nothing To Hide 2.0 di Shah Alam, Selangor. Pelbagai adegan yang tidak ingin kita lihat telah terjadi semasa Forum yang bertujuan memburuk-burukkan imej Kerajaan ini termasuk membakar suar dan membaling kerusi, botol air serta selipar. Kekecohan ini tercetus apabila terdapat pihak yang tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai peristiwa Memali.

Rata-rata khalayak yang hadir berpandangan kebanyakan soalan yang diajukan peserta tidak dapat dijawab secara telus dan adil oleh Tun M. Lantas beliau sendiri gagal menepati tajuk forum untuk tidak menyembunyikan apa-apa dan bersikap terbuka. Keadaan ini menyebabkan suasana tidak terkawal dan ada dalam kalangan penonton bertindak di luar jangkaan di samping gagal mengawal emosi. Keadaan ini menimbulkan kekecohan seperti yang kita tonton sendiri.

Kini dua persoalan popular berlegar di kalangan rakyat rentetan isu panas ini. Antaranya ialah sama ada insiden ini dicetuskan oleh penyokong Barisan Nasional (BN) atau ini hanya salah satu strategi politik yang didalangi pihak pembangkang supaya sentimen kebencian terhadap Kerajaan berterusan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Namun satu hal yang agak dikesali orang nombor dua dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali telah menuduh isu dan kekecohan ini sengaja dicipta oleh YAB Perdana Menteri untuk menutup mulut Tun M daripada menyatakan pandangannya. Azmin juga menyifatkan ini merupakan usaha yang digerakkan YAB Perdana Menteri untuk mensabotaj forum berkenaan.

Tuduhan yang dilemparkan Azmin ini jelas satu tuduhan tidak berasas dan tanpa bukti. Malah Azmin sebenarnya mungkin lupa dan harus kembali diingatkan tentang kekecohan pemilihan kepimpinan PKR pada tahun 2014. Ketika berlaku persaingan sengit di Selangor, berlaku budaya membaling kerusi yang turut mencemari pemilihan berkenaan. Sehubungan itu, dengan mengaitkan BN sebagai organisasi yang mengamalkan politik ganas, Azmin jelas tidak memahami bagaimana di dalam partinya sendiri juga wujud individu ganas dan cetek akal.

Pihak polis baru memulakan siasatan dan telah membuat beberapa tangkapan susulan daripada insiden ini dan tuduhan Azmin itu jelas mengatasi kuasa siasatan polis dengan membuat sangkaan buruk tanpa memiliki kekuatan bukti. Sewajarnya jika sesuatu hal itu telah dilaporkan kepada pihak berkuasa, maka tiada individu berhak mengulas dan membuat tuduhan palsu kerana ini hanya akan mengganggu siasatan. Kemungkinan besar Azmin bertindak sebegitu kerana mahu mengalih perhatian kepada isu integriti yang sedang melanda pembangkang termasuk tuduhan salah guna kuasa yang dihadapi salah seorang Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan Parti Tindakan Rakyat (DAP).

Rakyat tidak wajar cepat melatah dengan apa yang berlaku kerana kebodohan dalam politik kini sedang merebak dan tuduhan palsu membiak dengan cepat. Sewajarnya pembangkang selain daripada cuba mengajar pihak Kerajaan menjadi lebih bertanggungjawab, mereka juga perlu memastikan pemimpin sendiri memiliki integriti dan rasa tanggungjawab sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan tidak benar yang sebenarnya boleh memburukkan keadaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here