Penganjur Forum Mengenali Kristologi yang dijadualkan berlangsung bulan depan, membatalkan program itu susulan kontroversi membabitkan status “bekas rahib” seorang speakernya.

Penganjur forum itu yang merupakan NGO Islam dikenali sebagai Nur Fitrah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama serta berminat menghadiri forum itu.

“Atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan, pihak Nur Fitrah dengan ini mengumumkan program Kenali Kristologi pada 9 dan 10 Disember dibatalkan.

“Pihak kami memohon ribuan kemaafan serta akan menghubungi semula semua peserta yang telah mendaftarkan diri. Segala kesulitan amat dikesali.

“Walaupun begitu, sebagai Muslim kita hendaklah sentiasa yakin dengan janji Allah,” kata NGO Islam itu dalam status di laman Facebooknya hari ini.

Forum “Mengenali Kristologi” pada asalnya dijadualkan berlangsung di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor pada 9 dan 10 Disember ini.

Semalam, Nur Fitrah meminta maaf kepada orang ramai atas poster promosi mereka yang menggambarkan speaker Irene Handono sebagai bekas rahib.

NGO Islam itu berkata, mereka dikritik penganut Kristian Indonesia atas penggunaan perkataan “mantan rahib” walaupun wakil Handono mengesahkan beliau pernah menjadi biarawati.

Katanya, bagi umat Islam Malaysia, seseorang yang pernah mengisytiharkan diri sebagai rahib dan melalui beberapa latihan kerahiban dianggap bekas rahib.

Mereka berkata, Handono dipelawa atas kapasitinya sebagai seorang speaker Islam untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya tentang Kristologi dengan kumpulan sasaran, iaitu pelajar Islam yang sedang mempelajari perbandingan agama dan speaker Islam di Malaysia.

Sebelum ini, Setiausaha Eksekutif Bishops Conference of Indonesia, Edy Purwanto menyangkal dakwaan Handono dengan berkata, wanita itu tidak menamatkan “pengajian”.

Purwanto dilaporkan berkata, hasil semakan gereja Indonesia 3 tahun lalu mendapati Handono menyertai Congregation of the Ursuline Sisters sebagai rahib pelatih untuk tempoh singkat.-FMT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here