Cadangan bekas perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad baru – baru ini yang memberi isyarat bahawa beliau berminat untuk menubuhkan sebuah lagi syarikat kereta nasional sekiranya beliau tidak dapat mengembalikan Proton seperti mana yang diasaskannya lebih 30 tahun dahulu selepas sahamnya dijual kepada syarikat kereta China, Zhejiang Geely Holding Group (Geely) tidak sepatutnya timbul kerana fokus yang sepatutnya diberikan pada masa kini ialah membangunkan dan memajukan sistem pengangkutan awam dalam negara kita.

Dunia kini telah berubah, banyak kerajaan dunia kini memberi fokus mereka bagi membangunkan teknologi berkaitan dengan pembangunan pengangkutan awam bukannya memajukan pembinaan kenderaan peribadi seperti kereta.

Dengan penambahan manusia disetiap negara, pengangkutan awam akan menjadi salah satu bentuk pengangkutan utama untuk semua manusia dimasa akan datang.

Pembangunan pengangkutan awam juga penting bagi mengurangkan segala masalah yang dikaitkan dengan pengunaan kenderaan peribadi seperti masalah kesesakan lalu lintas di jalan – jalan raya, masalah pencemaran alam sekitar akibat daripada perlepasan asap dari kenderaan peribadi dan lain – lain lagi.

Pengunaan pengangkutan awam juga akan menjadi lebih penting dimasa akan datang apabila kuantiti minyak petroleum yang merupakan nadi utama kenderaan peribadi seperti  menjadi berkurangan.

Dari aspek ekonomi pula, pengangkutan awam akan menawarkan perkhidmatan yang lebih berpatutan  berbanding dengan kenderaan peribadi yang melibatkan pelbagai kos terhadap pengunaannya seperti kos minyak, kos penyelengaraan, kos insuran dan lain – lain lagi.

Dengan kemunculan teknologi baru dalam dunia pengangkutan awam yang sedang giat dibangunkan oleh negara – negara maju termasuk negara membangun seperti China, sudah pasti pengangkutan awam bakal menjadi pengangkutan yang lebih efisen, cepat, serta lebih menjimatkan untuk semua pengguna.

Oleh yang demikian, adalah penting untuk semua pihak tidak memberi keutamaan bagi mewujudkan lebih banyak kenderaan peribadi dan mengalih perhatian kepada pembangunan pengangkutan awam dalam negara kita.

Agak sedih melihat pembangunan pengangkutan awam negara kita yang jauh ketinggalan berbanding dengan negara – negara lain seperti Korea Selatan, China, Jepun yang sudahpun maju ke hadapan dalam perkara ini.

Negara kita sepatutnya kini sudah pun memiliki perkhidmatan awam setanding dengan negara – negara berkenaan malah sepatunya lebih maju lagi berbanding dengan negara – negara lain.

Proses pembangunan pengangkutan awam dalam negara sudah sepatutnya dibangunkan secara agresif seawal tahun1980an dan 1990an yang lalu bukannya sekarang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here