Baru-baru ini Malaysiakini melaporkan bahawa terdapat wakil rakyat BN Johor bakal menyertai Pakatan Harapan. Laporan ini dipetik daripada kenyataan yang dikeluarkan sendiri oleh Ketua Bahagian PPBM Batu Pahat Dr. Mohd Zaid Mohd Yusof.

Laman Facebook pembangkang di Johor turut memuat naik status mendakwa Adun Rengit, YB Haji Ayub Jamil berkomunikasi dengan beliau dan menyatakan hasrat bakal meninggalkan UMNO dan menyertai PPBM.

Tidak lama selepas itu, ADUN Rengit membuat kenyataan menafikan perkara tersebut. Beliau menegaskan, “semua perkara yang dinyatakan oleh Malaysiakini dan Gabungan Bersatu Johor adalah fitnah dan berniat jahat. Menggunakan pendekatan politik murahan. Saya tidak pernah berjumpa serta jauh sekali berbincang dengan nama yang disebut oleh Malaysiakini dan Gabungan Bersatu Johor”.

Pada masa yang sama, seorang lagi wakil rakyat iaitu Adun Senggarang, YB Abdul Aziz, turut menjadi mangsa fitnah yang sama. Beliau turut menangkis dan menafikan dengan tegas dakwaan bahawa beliau akan menyertai BERSATU.

“Dakwaan tersebut adalah karut. Saya bangga jadi ADUN BN. Titik.”

Sekiranya benar, Dr. Mohd Zaid, harus membuktikan bila pertemuan itu berlaku, di mana ia berlaku dan bentuk pertemuan tersebut. Perkara berunsur fitnah seperti ini seharusnya turut diberi perhatian oleh semua kepimpinan bersatu yang kini berdegar-degar dengan kempen Nothing To Hide 2.0.

Jika Dr. Mohd Zaid berkata benar, beliau tidak sepatutnya menyembunyikan apa-apa dan harus mendedahkan bukti bagi menyokong dakwaan tersebut.

Setelah diselidik, kedua-dua fitnah tersebut bukan sahaja tidak beretika, tidak bertanggungjawab dan bersifat syok sendiri. Tetapi rupa-rupanya dibuat dengan niat yang lebih besar.

Pertama, ia bertujuan mengalihkan pandangan dan menutup beberapa isu kritikal yang kini dihadapi oleh Bersatu di Batu Pahat. Iaitu ketakutan serta perbalahan sesama pembangkang dalam merebut kerusi di Batu Pahat.

Konflik Dalaman Yang Kritikal

Jika dilihat, Parlimen Batu Pahat sebelum ini dimenangi oleh Datuk Idris Jusi dari PKR, manakala Dun Penggaram dimenangi oleh DAP. BN pula berjaya mempertahankan kerusi masing-masing di Dun Rengit serta Senggarang.

Berdasarkan kepada fitnah yang dibuat terhadap kedua-dua Adun BN tersebut, pembangkang di Batu Pahat sebenarnya sedang cuba menutup kelemahan serta kepincangan 2 orang wakil rakyat mereka di sana.

Ia sebetulnya satu percaturan politik secara halus. Ini kerana, tindakan PPBM ini jelas merupakan satu isyarat tersurat dari Bersatu kepada PKR Batu Pahat bahawa mereka juga berhak meletakkan calon sendiri di Rengit serta Senggarang.

Malikfaishal Ahmad merupakan bekas pembantu Idris Jusi yang bertanggungjawab terhadap kegagalan Idris Jusi di Batu Pahat. Malikfaishal kini sedang melobi untuk menjadi calon Dun Rengit. Manakala Setiausaha Keadilan Batu Pahat, Abdullah Mujahid sudah mula bersuara dan mengimpikan namanya disenaraikan sebagai calon Parlimen Batu Pahat mewakili PKR.

Perkara ini semakin jelas apabila segala program Idris Jusi, bukan sahaja tidak mendapat sokongan penduduk di Batu Pahat. Malah dilaporkan sering diboikot oleh wakil DAP dan BERSATU sendiri.

Yang menariknya, sekalipun mereka kerap memboikot dan saling bertegang urat dengan wakil PKR di Batu Pahat, Adun Penggaram, Gan Peck Cheng sendiri tidak juga menunjukkan prestasi yang baik. Beliau dilihat oleh Idris Jusi sebagai wakil rakyat yang hidup segan, mati tak mahu.

Prestasi buruk Peck Cheng tersebut, antara lain disumbangkan oleh sikap NGO PKR yang kelihatan cuba mensabotaj wakil DAP itu dalam pelbagai program anjuran mereka. Misalnya, beberapa bulan lalu gempar berita tentang sebuah keluarga di Kg. Parit Gantung, Batu Pahat yang terpaksa menderita akibat janji manis Peck Cheng.

NGO di bawah PKR yang diketuai oleh Abdullah Mujahid dipercayai telah membawa Peck Cheng melawat keluarga En. Shapiee Kamisan dan mencadangkan kepada Peck Cheng untuk merobohkan bahagian dapur rumah tersebut dan menjanjikan pembinaan rumah baharu. Malangnya, setelah sebahagian rumah tersebut dirobohkan atas keputusan Peck Cheng, NGO PKR menghilangkan diri dan membiarkan keluarga tersebut tanpa bantuan selama 2 tahun.

Kisah ini akhirnya mendapat perhatian kerajaan negeri Johor serta kepimpinan UMNO Batu Pahat, yang akhirnya diselesaikan dalam tempoh 3 hari sahaja melalui inisiatif pertubuhan Ihsan Johor serta UMNO Batu Pahat.

Bagi rakyat Johor, tabiat suka fitnah dan membuat tuduhan jahat ini merupakan gambaran sebenar wajah pembangkang di Johor. Sebelum ini, Naib Ketua Pemuda PAN, Shazni Munir telah memfitnah terdapat Adun di Segamat menjadi Ahli Majlis Daerah Segamat. Sedangkan pada hakikatnya, tiada satu pun bukti menunjukkan ada Adun menjadi Ahli Majlis seperti yang dituduh oleh beliau.

Barangkali bagi PKR, BERSATU dan DAP di Johor, mereka berpegang kepada pantun lama yang telah sering dibubah suai. Siakap senohong, gelama ikan duri, bercakap bohong, lama-lama jadilah menteri.

Jika budaya politik sebegini dibiar berterusan, ia pasti akan hanya merugikan semua pihak, khususnya rakyat Johor.

FIKRI ALLAUDIN adalah Ketua Penyelidik Aktivis Persatuan Pemikir Muda Johor. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tiada kaitan dengan Malaysian Access.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here