Tuesday, June 19, 2018
Home News Biz Firma Penyelidikan Ekonomi Jepun Optimis Malaysia Tidak Berada Dalam Situasi Krisis Ekonomi

Firma Penyelidikan Ekonomi Jepun Optimis Malaysia Tidak Berada Dalam Situasi Krisis Ekonomi

0
270

KUALA LUMPUR 1 Sept. – Ekonomi Malaysia dilihat mampu bertahan dan berprestasi lebih baik berbanding negara-negara pengeksport komoditi yang lain, walaupun berhadapan situasi kejatuhan nilai ringgit dan penurunan harga komoditi.

Firma penyelidikan ekonomi dari Jepun, Nomura Research berkata, meskipun Malaysia ketika ini disifatkan sebagai ekonomi paling terjejas di peringkat serantau, namun negara ini sebenarnya masih mempunyai kelebihan berbanding negara lain jika penilaian statistik ekonomi dilakukan.

Menurut firma itu, sebarang risiko ekonomi yang dihadapi adalah terkawal dan sukar membuatkan negara untuk berada dalam situasi krisis ekonomi.

“Malaysia mempunyai kedudukan fiskal yang lemah, tetapi akaun semasa negara masih lagi dalam keadaan lebihan. Unjuran kerajaan untuk memperbaiki kedudukan fiskal juga masih mampu dicapai.

“Defisit fiskal pada separuh pertama tahun ini berjaya dikurangkan kepada 2.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sekali gus membolehkan sasaran kerajaan 3.2 peratus tahun ini boleh dicapai, walaupun kami menjangka Malaysia mampu mencapai lebih baik iaitu tiga peratus,” menurut firma itu lagi.

Kerajaan pada awal tahun ini telah menyemak semula unjuran defisit fiskal negara kepada 3.2 peratus bagi 2015 berbanding tiga peratus yang diunjurkan disebabkan faktor persekitaran ekonomi semasa khususnya akibat kejatuhan harga minyak dunia hampir 50 peratus yang dilihat boleh menjejaskan pendapatan kerajaan.

Bagaimanapun, disebabkan kejatuhan harga minyak dunia serta masalah bencana banjir yang menjejaskan pengeluaran sawit negara, Nomura Research menjangka KDNK Malaysia tahun ini hanya sekitar lima peratus sahaja berbanding enam peratus yang dicapai tahun 2014.

“Walaupun jangkaan KDNK itu menurun, namun ia masih lagi baik berbanding pertumbuhan ekonomi negara-negara pengeksport komoditi yang lain. Lebihan akaun semasa Malaysia juga merupakan antara yang terbaik dalam kalangan negara-negara pesaing yang lain,” jelas firma penyelidikan itu.

Malah, jelas Nomura Research, walaupun jumlah hutang asing di dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) meningkat secara mendadak tetapi ia masih lagi rendah jika dibandingkan dengan pendapatan negara kasar.

“Hutang luar negara yang meningkat ini lebih disumbangkan oleh perubahan kadar tukaran,” jelas firma itu.

Nomura Research bagaimanapun menjangka hutang luar negara bagi Indonesia, Malaysia dan Thailand masing-masing akan meningkat 0.7 peratus, satu peratus dan 0.3 peratus tahun ini.

“Apapun, kadar hutang ini masih terkawal, dan beban hutang ini mungkin akan menjadi lebih rendah jika mengambil kira faktor peningkatan aktiviti-aktiviti perjanjian pengurangan risiko mata wang

“Bank Negara Malaysia sendiri melalui ujian tekanan yang dilakukan, mendapati kesan tukaran mata wang asing hanya memberi impak yang sedikit terhadap hutang-hutang korporat,” jelasnya.

Sumber: Utusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here