MEMANG sejak Rodrigo Duterte belum secara rasmi menjadi Presiden Filipina pada Jun 2016, beliau telah secara terbuka menyatakan tuntutan negara itu ke atas Sabah bakal menjadi antara agenda pentadbirannya. Hal itu dibuktikan Duterte bukanlah sekadar retorik politik atau sekadar cakap-cakap kosong kerana beliau dilihat serius untuk meminda perlembagaan negara itu bagi memberi jalan kepada sebuah pembentukan kerajaan bersifat persekutuan, mirip seperti pentadbiran negeri dan pusat yang ada di Malaysia.

Beberapa hari lalu, isu tuntutan Filipina ke atas Sabah kembali hangat diperkatakan setelah bekas Presiden Dewan Senat negara tersebut, Aquilino Pimentel mencadangkan agar Sabah dimasukkan sebagai negeri persekutuan ke-13 dalam perlembagaan yang ingin dipinda. Pimentel adalah individu yang dilantik oleh Duterte sendiri bagi mengkaji Perlembagaan Filipina 1987 dan seterusnya melihat kepada mekanisme yang boleh diambil bagi merealisasikan pembentukan kerajaan persekutuan seperti yang telah dijanjikan Duterte sepanjang kempen pilihan raya presidennya sebelum ini.

Dalam cadangan Pimentel bagi sebuah pembentukan pentadbiran baharu, beliau mencadangkan agar dibahagikan kepada 12 negeri persekutuan yang merangkumi Luzon Utara, Luzon Tengah, Luzon Selatan, Bicol, Visayas Timur, Visayas Tengah, Visayas Barat, Minparom, Mindanao Utara, Mindanao Selatan dan Bangsamoro. Dalam cadangan tersebut juga, Pimentel menyebut bahawa Metro Manila bakal menjadi pusat pentadbiran kerajaan sementara Sabah pula akan dijadikan negeri yang ke-13 sekiranya tuntutan Filipina ke atas Negeri Di Bawah Bayu itu berjaya kelak.

Apa Hak Filipina Ke Atas Sabah?

Kisah pemilikan ke atas Sabah adalah sejarah yang panjang dan kompleks. Namun sejarawan tidak berselisih pendapat bahawa negeri itu pada asalnya adalah wilayah jajahan Kesultanan Brunei. Sabah, atau nama pada zaman penjajahannya, Borneo Utara, kemudiannya diserahkan kepada Kesultanan Sulu pada 1658 oleh Kesultanan Brunei sebagai menghargai jasa kerajaan tersebut membantu membendung perang saudara yang meletus di Brunei pada ketika itu.

Pada akhir kurun ke-17 sehingga kurun ke-18, Kesultanan Sulu melalui zaman keemasannya apabila pengaruh kerajaan tersebut tersebar dengan begitu meluas sehingga meliputi wilayah moden Sabah dan Selatan Filipina yang ada pada hari ini. Kedatangan penjajah Barat ke Filipina sesudah itu walau bagaimanapun menjadikan pengaruh Kesultanan Sulu mula terhakis secara perlahan-lahan. Kejatuhan Filipina ke tangan Sepanyol akhirnya memberi peluang dan kesempatan kepada British untuk mengambil segala inisiatif bagi menguasai Sabah.

22 Januari 1878 merupakan tarikh yang maha penting kerana pada tarikh tersebut termeterailah sebuah perjanjian antara Sultan Sulu dan dua ejen British iaitu Alfred Dent dan Baron von Overback. Perjanjian itu antara lain memperuntukkan Sultan Sulu menyerahkan atau ‘menyewakan’ selama-lamanya Sabah (Borneo Utara) kepada British dengan pulangan pembayaran sebanyak 5,000 dolar Malaya setahun kepada Sultan Sulu pada ketika itu. Jumlah itu kemudiannya meningkat kepada 5,300 dolar setelah wilayah yang diserahkan kepada British turut meliputi pulau-pulau di persisiran Sabah.

Seperti yang kita sedia maklum, sejarah moden zaman penjajahan menyaksikan Sabah ditadbir oleh British atau syarikatnya, Syarikat Berpiagam Borneo Utara (SBBU) sehinggalah pada 1941 sebelum kedatangan Jepun. Setelah Jepun menyerah kalah pada 1945, Sabah kembali dikuasai British sebelum memperoleh kemerdekaan melalui kemasukannya ke dalam Malaysia pada 1963. Pada tahun yang sama jugalah Filipina memulakan tuntutan mereka ke atas Sabah, namun bersetuju untuk tidak meneruskannya pada 1977 sewaktu di bawah pentadbiran Presiden Ferdinand Marcos.

Reaksi Malaysia Dan Kesan Terhadap Hubungan Dua Hala

Respon balas Malaysia terhadap tuntutan Filipina ke atas Sabah selama ini boleh dikatakan tegas dan perlu dipuji. Dalam reaksi terhadap cadangan Pimentel itu, Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berkata kerajaan negeri tidak mengiktiraf dan memperakukan sebarang tuntutan oleh Filipina atau mana-mana negara ke atas Sabah. Begitulah juga reaksi Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman apabila dengan tegas menyatakan bahawa Malaysia tidak akan melayan sebarang tuntutan seumpama itu.

Hakikatnya, masyarakat antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sendiri telah mengiktiraf Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak penubuhan persekutuan ini pada 16 September 1963. Maka jika Filipina meneruskan tuntutan mereka ke atas Sabah walaupun secara “aman dan baik”, ia hanya memperlihatkan kejahilan mereka mengenai sejarah dan undang-undang antarabangsa. Lebih parah, ianya juga berpotensi untuk mengeruhkan hubungan dua hala antara Filipina dengan Malaysia yang selama ini disifatkan sebagai “cemerlang”.

Perbaiki Persepsi Umum

Apa pun, kita boleh menjangkakan isu tuntutan ke atas Sabah ini akan terus berpanjangan. Mungkin sebahagian daripada rakyat Malaysia belum tahu bahawa Malaysia sehingga ke hari ini masih lagi membayar sejumlah RM5,300 kepada waris Kesultanan Sulu atas pemilikan Sabah. Bagi Malaysia, pembayaran ini adalah bagi pemilikan dan penyerahan kekal Sabah. Bagi Filipina dan waris Kesultanan Sulu sendiri, pembayaran ini walau bagaimanapun hanyalah berbentuk sewaan dan pajakan. Justeru, mereka tetap dan masih lagi melihat Sabah sebagai wilayah mereka.

Bagi sesetengah pihak, pembayaran yang dilakukan oleh Malaysia dalam hal ini seolah-olah memberi isyarat bahawa Malaysia masih lagi ‘menyewa’ Sabah daripada Filipina. Atas sebab itulah, sesetengah pemerhati di Malaysia pernah mencadangkan agar pembayaran ini segera dihentikan lebih-lebih lagi setelah waris Kesultanan Sulu sendiri mengkhianati perjanjian mengenai Sabah apabila mereka menyerang dan menceroboh Lahad Datu pada 2013. Pembayaran yang dibuat sehingga kini seolah-olah menunjukkan Sabah masih bukan sepenuhnya milik Malaysia. Maka ada baiknya kerajaan segera mencari jalan agar sebarang langkah sesudah ini tidak lagi memberikan isyarat dan mesej salah yang bertentangan dengan aspirasi negara untuk terus memelihara kedaulatan dan mempertahankan integriti wilayah Sabah.

‘Kuburkan’ Segera Tuntutan Filipina

Apatah lagi penduduk Sabah sudah sekian lama menantikan penyelesaian segera terhadap isu yang terlalu lama berpanjangan ini. Tuntutan berkali-kali yang dibuat oleh Filipina ke atas negeri itu dalam masa yang sama memberikan satu lagi perspektif salah terhadap kerajaan yang mungkin sahaja dilihat sedikit ‘berlembut’ dalam menghadapi provokasi negara jiran itu. Dalam hal pemilikan Sabah, Malaysia tentu sahaja memiliki kelebihan dari segi perundangan antarabangsa kerana pada hakikatnya sejak 1882 iaitu pada tarikh SBBU mula mentadbir Sabah, Filipina dan Kesultanan Sulu sendiri tidak mempunyai apa-apa urusan mahupun aktiviti di negeri itu yang membuktikan ataupun menguatkan hujah mereka dalam tuntutan ke atas Sabah.

Maka sudah tiba masanya, kerajaan negeri dan kerajaan pusat mengambil langkah yang lebih konkrit dalam hal ini bagi memastikan tuntutan ke atas Sabah oleh Filipina boleh ‘dikuburkan’ sesegera mungkin. Semua jalan diplomatik yang ada perlu digunakan bagi menggesa negara jiran itu menutup bab ini dalam buku hubungan Kuala Lumpur-Manila. Akhirnya, dengan suasana pilihan raya umum (PRU) yang semakin mendekat, rakyat jugalah yang akan terus memerhati dan menilai sejauh mana kerajaan yang ada pada hari ini benar-benar tegas mempertahankan hak dan integriti wilayah Sabah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here