FILEM Dukun yang ditangguhkan tayangannya sekitar tahun 2007, kini kembali hangat diperkatakan ramai apabila ia bocor di internet sejak beberapa hari lalu.

Naskhah arahan Dain Said ini telah dikongsi menerusi beberapa pautan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab dengan durasi 1 jam 35 minit yang memaparkan hampir keseluruhan jalan cerita.

Insiden yang berlaku ini mengejutkan banyak pihak, malah ramai yang tertanya-tanya bagaimana filem yang dihasilkan lebih 10 tahun ini boleh bocor kepada umum.

Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional(FINAS), Datuk Fauzi Ayob dalam satu kenyataannya berkata, pihaknya memandang serius perkara ini dan mengambil beberapa pendekatan untuk menanganinya.

“Sebelum ini, FINAS sudah mengambil inisiatif penting bersama-sama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia dengan menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Membanteras Cetak Rompak Digital sebagai sinergi bersama menangani isu filem di pawagam yang dimuat naik ke laman sesawang oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Bagaimanapun, kita perlu maklumat lanjut memandangkan iamelanggar isu hak cipta dan harta intelek.  FINAS berharap pengguna sedar tindakan menyebar dan memuat turun kandungan adalah salah di sisi undang-undang,” katanya kepada sebuah akhbar.

Dukun yang menampilkan Datin Paduka Umie Aida sebagai teraju utama ini menjadi bualan hangat kerana ia merupakan cerita yang diinspirasikan daripada kisah benar kes pembunuhan berprofil tinggi membabitkan seorang ahli politik dan pengamal ilmu hitam, Mona Fandey.

Biarpun telah siap pembikinan dan promosi dijalankan, filem ini gagal mendapat kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF) untuk tayangan umum, atas alasan jalan ceritanya yang kontroversi, selain dikatakan menyinggung perasaan keluarga pihak terbabit.

Selain Umie, filem ini turut dibintangi pelakon-pelakon hebat seperti Hasnul Rahmat, Namron, Mislina Musraffa, Nadiya Nisaa, Bront Palarae, Elyana, Faizal Hussein, Chew Kin Wah, Deana Yusof dan lain-lain.

Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here