Pengarah terkenal, Mamat Khalid yang beberapa kali tercalon dalam Festival Filem Malaysia (FFM) dan pernah memenangi kategori Pengarah Terbaik dalam FFM ke-21 menerusi filem Kala Malam Bulan Mengambang bakal ulangi kejayaan nya pada FFM 27 ini.

Pada FFM Ke-27 yang kini sedang berlangsung bermula 2 hingga 5 September (Sabtu ini) nama Mamat Khalid sekali lagi tercalon bagi kategori Pengarah Terbaik dan Filem Terbaik menerusi filem arahannya Amir dan Loqman Pergi Ke Laut.

Mungkinkah, pencalonannya kali ini akan memberikan tuah sekali lagi kepadanya apabila hasil tangannya pernah mengungguli anugerah sama.

Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohd Khalid, 52, memberitahu, setiap pengarah pastinya mengimpikan kejayaan pada arahannya dan filemnya, begitu juga dirinya.

“Kalau menang itu rezeki, tetapi kali ini saya tidak terlalu mengharap kerana segalanya atas rezeki masing-masing dan saya terima apa sahaja keputusan.

“Sudah tercalon sekali lagi dalam anugerah yang berprestij itu juga adalah ibarat satu kemenangan kepada saya dan produksi,” katanya.

Mamat turut berkongsi yang dia tidak menjangkakan filem yang mahu ditukar kepada filem lain pada awalnya itu tercalon untuk FFM kali ini.

“Pada mulanya saya nak buat filem lain kerana cerita yang seperti itu pernah digam kerana tidak sesuai dengan zaman. Namun apabila ditayangkan pada waktu kini, ia sesuai dengan zaman, justeru penerbit tetap mahukan filem itu dihasilkan,” katanya.

Mengulas pula mengenai saingan bagi kategori yang sama, Mamat memberitahu, dirinya tidak merasa nama lain sebagai pesaing kepadanya.

“Saya tidak berasa iri hati dengan semua calon lain, kerana masing-masing ada keistimewaan sendiri dan saya tidak iri hati jika saya tidak menang.

“Sebolehnya, kali ini saya hadir hanya untuk memeriahkan majlis sahaja. Zaman keterujaan untuk menang itu sudah berakhir bagi saya,” katanya.

Mamat tercalon bersama empat lagi pengarah untuk kategori Pengarah Terbaik iaitu Kabir Bhatia (Dollah Superstar), Liew Seng Tat (Lelaki Harapan Dunia), Bernard Chauly (Manisnya Cinta Di Cappadocia) dan Nik Amir Mustapha (Terbaik Dari Langit).

Manakala bagi kategori Filem Terbaik calonnya ialah Astro Shaw Sdn Bhd (Amir dan Loqman Pergi ke Laut), Filmscape Sdn Bhd (Dollah Superstar), Everthings Film Sdn Bhd (Lelaki Harapan Dunia), Astro Shaw Sdn Bhd, Global Station Sdn Bhd dan Red Film Sdn Bhd (Manisnya Cinta Di Cappadocia) dan Astro Shaw dan Playgroud Production (Terbaik Dari Langit).

Industri filem semakin hambar

Melihat kepada situasi industri filem kebelakangan ini, Mamat berkata, kemungkinan industri filem negara akan semakin teruk pada masa akan datang.

“Bukan kerana masalah penonton atau kutipan tayangan, tetapi kerana banyak pengkritik atau jurucakap yang hanya tahu mengkritik filem tanpa pandai berusaha untuk memulihkannya.

“Oleh sebab itu, ramai antara pengarah yang saya kenal, tidak mahu lagi menghasilkan filem kerana mereka patah hati dengan pihak yang hanya tahu bercakap lebih,” katanya.

Bagaimanapun, Mamat berasa bangga dengan usaha pengarah lain yang tetap berusaha menyajikan penonton dengan filem yang memenuhi cita rasa penonton.

“Apa yang penting kini, perlu hasilkan filem yang diinginkan oleh penonton dan dengan adanya pengarah sebegini, menyebabkan industri filem kita terus berdiri sehingga kini,” katanya.

Pada perkembangan lain, kini Mamat sedang menantikan tayangan bagi filem Lebuhraya Ke Neraka yang dijangka ditayangkan pada awal tahun hadapan.

“Insya-ALLAH awal tahun hadapan akan ditayangkan filem yang mendapat kerjasama dari Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sendiri.

“Yang lain sedang menyiapkan satu lagi filem Rock Bro 3 dan kini filem arahan saya juga sedang ditayangkan di pawagam iaitu filem Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here