KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Pelaburan Langsung Asing (FDI) di Malaysia meningkat kepada RM477.4 bilion pada suku kedua 2015 daripada RM475.7 bilion pada suku pertama.

Sektor pembuatan kekal sebagai penerima terbesar pelaburan langsung (44.1 peratus), diikuti oleh sektor kewangan dan insurans (20.9 peratus) serta sektor maklumat dan komunikasi (8.8 peratus).

Tiga negara utama bagi FDI adalah dari Singapura, Jepun dan Belanda, demikian menurut Jabatan Perangkaan dalam satu kenyataan hari ini.

Paras pelaburan antarabangsa bersih Malaysia mencatatkan kedudukan aset bersih sebanyak RM33.9 bilion pada suku kedua daripada liabiliti bersih RM1.2 bilion yang dicatatkan pada akhir suku pertama.

Keadaan ini dipacu oleh peningkatan yang lebih besar pada jumlah aset kewangan Malaysia RM1.53 trilion berbanding jumlah liabiliti RM1.5 trilion.

Pelaburan langsung mencatatkan kedudukan aset bersih RM45.0 bilion pada akhir suku kedua 2015, meningkat RM20.2 bilion daripada 31 Mac 2015.

Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia meningkat sebanyak RM8.4 bilion pada suku kedua 2015 untuk berada pada RM398.1 bilion (Suku pertama 2015: RM389.6 bilion).

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here