Fatwa
Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

SEJAK kebelakangan ini, pelbagai pihak dengan lantang mempertikaikan fatwa dibuat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ataupun Jawatankuasa Fatwa Negeri-Negeri.

Tindakan ini sebenarnya adalah kesinambungan usaha menjatuhkan kredibiliti Jawatankuasa Fatwa dan institusi Islam lain walaupun setelah Mahkamah Persekutuan membuat penghakiman bahawa institusi fatwa adalah sah di sisi Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini dalam kes Sulaiman Takrib melawan Kerajaan Negeri Terengganu dan Kahar Ahmad melawan Kerajaan Negeri Selangor dan dua lagi.

Keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan yang merupakan mahkamah tertinggi  negara ini telah menjelaskan kedu-dukan fatwa di Malaysia dan tidak perlu dipertikaikan lagi selepas itu.

Bagi orang bukan Islam, hormatilah institusi agama Islam kerana ia adalah badan yang sah di sisi undang-undang. Sebagaimana orang bukan Islam tidak mahu orang Islam mengganggu agama mereka, mereka juga hendaklah tidak mengganggu agama Islam apatah lagi badan tersebut ditubuhkan atas lunas yang sah dan diiktiraf undang-undang.

Institusi Fatwa bukanlah ditubuhkan setelah merdeka tetapi telah lama ujud walaupun sebelum zaman penjajahan lagi, dan selama ini fatwa telah berjaya memberi panduan kepada orang Islam mengamalkan agama mereka.

Orang bukan Islam tiada hak mempersoalkan perkara mengenai ajaran Islam, apatah lagi Islam adalah agama Persekutuan dan diberikan kedudukan istimewa dalam Perlembagaan.

Hal ini kita dapat lihat apabila orang bukan Islam pun begitu keras membantah fatwa ini walhal fatwa tersebut tidak akan mengikat mereka. Apakah motif sebenar mereka melakukan sebegini?

Begitu juga halnya dengan orang Islam. Dalamilah ilmu agama sebelum membuat sesuatu kenyataan.

Janganlah mendahului para ulama dalam urusan agama. Orang yang tidak berkelayakan dalam bidang agama tidak harus mempertikaikan fatwa yang sah dibuat mengikut lunas-lunas agama dan undang-undang negara. Apakah perkara lain yang lebih mustahak lagi berbanding perkara menyentuh akidah orang Islam.

Sekiranya senaman yoga itu adalah haram di sisi Islam kerana mensyirikkan ALLAH SWT, maka betapa baik pun amalan seseorang itu, ia sudah pasti tidak akan diterima ALLAH.

Dalam membuat sesuatu fatwa, Jawatankuasa Fatwa membuat kajian terperinci terlebih dahulu. Suatu kertas cadangan dibuat dan dikaji tokoh-tokoh agama dan golongan profesional sering kali dipanggil untuk membantu Jawatankuasa Fatwa mengeluarkan fatwa.

Sebenarnya Jawatankuasa Fatwa telah membuat pelbagai ketetapan merangkumi aspek perubatan, sosial, kesihatan, ekonomi dan juga pentadbiran.

Ini jelas menunjukkan Jawatankuasa Fatwa telah menjalankan amanahnya dengan baik dan membincangkan permasalahan dihadapi orang Islam. Dalam banyak keadaan juga pakar-pakar dipanggil untuk membantu Jawatankuasa Fatwa memberikan fatwa yang tepat.

Selama ini Jawatankuasa Fat-wa telah berjaya menyelesaikan banyak permasalahan umat Islam di Malaysia. Memang tidak dinafikan terdapat perubahan fatwa dalam beberapa perkara yang telah diputuskan, tetapi ia bukanlah menunjukkan kejelikan anggota Jawatankuasa Fatwa berkenaan. Ia lebih merupakan manifestasi bahawa syariat Islam itu sesuai sepanjang zaman dan boleh disesuaikan mengikut keadaan semasa tanpa menggadaikan perkara-perkara asas yang telah disepakati.

Namun ada juga golongan yang masih tidak sedar kejayaan ini dan mentertawakan sesuatu fatwa. Mereka mengambil contoh fatwa pengharaman rokok telah dikeluarkan beberapa tahun lepas tetapi masih ramai orang yang merokok. Dalam hal yang demikian adakah Jawatankuasa Fatwa patut berhenti membuat fatwa? Kita ambil perbandingan jika seorang doktor membedah seorang pesakit dan pesakit itu mati, adakah doktor perlu berhenti membedah pesakit?

Begitu juga kisahnya apabila ahli-ahli Parlimen membuat undang-undang dan undang-undang tersebut gagal dipatuhi oleh rakyat. Adakah ahli Parlimen perlu berhenti membuat undang-undang? Tentulah jawapannya tidak, begitu juga dengan fatwa. Mufti tidak perlu berhenti mengeluarkan fatwa.

Sebenarnya fatwa sahaja tidak menjamin kesejahteraan umat. Seluruh jentera pentadbiran kerajaan perlu memadu usaha memastikan sesuatu fatwa itu diikuti sama ada melalui pendidikan, pelaksanaan dan juga penguatkuasaan.

Oleh yang demikian, penulis menyeru semua orang, sama ada Islam ataupun bukan Islam agar menghormati Jawatankuasa Fatwa yang mempunyai kuasa untuk membuat fatwa. Mufti juga mempunyai tanggungjawab untuk menasihati Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan dalam perkara mengenai agama Islam. Mempertikaikan mufti samalah ertinya mempertikaikan Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan yang berkenan melantik mereka. – Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here