Beberapa tahun dulu, nama Farid dan Sam sering kali menjadi sebutan apabila wajah –wajah mereka yang dilabel wajah hero pujaan kerap kali menghiasi poster-poster filem dan media massa.

 

Cuma sejak kebelakangan ini, kedua-duanya hanya sekali-sekala membuat kemunculan, cukup sekadar mengubat kerinduan dan mengingatkan masyarakat bahawa Farid dan Sam belum hilang. Hari ini juga corak seni mereka sudah tidak seperti dahulu. Farid dan Sam tidak lagi mengejar kemasyhuran, sebaliknya sudah duduk selesa dalam posisi aktor disegani.

Dalam melalui proses kematangan sebagai pelakon senior dan juga penggiat seni, Farid dan Sam, masing-masing lebih memandang serius kerjaya lakonan mereka dan bukan sekadar bekerja bagi memenuhi kehendak pihak lain.

Bukan riak dengan taraf yang dicapai, namun pada Farid dan Sam, sudah tiba masanya mereka menghargai bakat yang dikurniakan itu pada suatu karya yang bukan dihasilkan hanya ala kadar.

Setidak-tidaknya, jika boleh, ia memiliki nilai setara dengan apa yang boleh mereka sumbangkan sebagai anak seni berpengalaman.

Farid tolak watak mat rempit

Bagi Farid Kamil atau nama sebenarnya, Farid Kamil Zahari, 33, tempoh 15 tahun berkecimpung selaku anak seni banyak mengubah persepsi dirinya terhadap kerjayanya yang bermula sebagai pelakon pembantu sehingga mencapai taraf sekarang.

Kata suami kepada Diana Danielle itu, sewaktu pertama kali melangkah masuk ke dunia hiburan, dia lebih memikirkan soal keseronokan mencuba perkara baharu meskipun wataknya pada ketika itu kecil dan tidak penting.

“Sewaktu awal bergiat menjadi seorang pelakon, saya masih seorang pelajar dan sedang giat meneroka bidang baharu. Maka perkara seperti pemilihan dan kehendak tertentu dalam tawaran memang bukan keutamaan.

“Saya memang tidak mempunyai asas berlakon dan tidak tahu apa watak yang sesuai atau kena dengan saya, jadi secara dasarnya pada waktu itu memang apa sahaja watak yang muncul, saya ambil,” ujarnya mula dikenali selepas terbabit dalam filem Mistik pada tahun 2000 .

Namun kini, sedekad berlalu, Farid juga popular melalui naskhah 7 Perhentian dan I’m Not Single memberitahu, dia mula memilih karakter dengan lebih terperinci dan mengakui dia tidak mahu melakonkan watak serupa seperti zaman mudanya dahulu.

Tegas menolak watak mat rempit dan watak cinta yang klise, Farid mahu selagi dia bersemangat untuk bekerja, biarlah watak yang diambilnya berbeza agar profilnya sebagai pelakon lebih versatil.

“Zaman industri filem pada awal kegiatan saya adalah kecil, malah seperti tiada masa depan. Kehadiran orang yang sanggup memperjudikan nasib membawa watak-watak yang belum mendapat tempat di hati penonton sangat diperlukan.

“Saya habiskan zaman muda mencuba pelbagai watak dan semuanya menjadi satu eksperimen agar apabila sudah mencapai tahap sekarang, saya tahu watak apa yang ingin saya buat dan apa yang cukup sekali sahaja dilakonkan,” tuturnya yang kini lebih teruja untuk melakonkan watak yang berbeza dengan peribadi sebenar.

Sam kumpul aset

Perkara yang hampir sama disuarakan oleh Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular 2014 (ABP 2014), Shaheizy Sam.

Kini berusia 32 tahun, Sam ligat memutar kembali memori langkah pertama dirinya di dalam industri seni tanah air.

Apa yang berbeza bagi anak pelakon Khaty Fauziah ini ialah niat asalnya ketika awal berlakon adalah untuk mencari wang agar dapat membantu kehidupan keluarganya pada ketika itu.

Menyedari dirinya bukan berasal daripada keluarga senang, Sam benar-benar membanting tulang bekerja mencari rezeki agar wang hasil lakonannya itu boleh menampung perbelanjaan adik-adik serta ibunya.

“Alhamdulillah, kehidupan saya dan keluarga cukup makan. Tidak terlalu susah dan tidak terlalu mewah berbanding pada zaman remaja saya, kehidupan keluarga kami agak sukar.

“Saya sentiasa mengingatkan diri untuk bekerja keras dalam memastikan hidup kami sekeluarga lebih baik. Sewaktu mula-mula berlakon, apa sahaja watak yang ditawarkan saya ambil kerana tujuan untuk mengumpul simpanan masa depan,” jelasnya yang mula berlakon sejak usia 12 tahun menerusi drama Sama Tapi Tak Serupa.

Mengambil masa bertahun gigih membina nama serta kerjaya dalam industri, lama-kelamaan hati Sam mula terasa kosong tatkala kebanyakan watak yang diberi sama dan tidak mencabar diri untuk menjadi lebih baik.

Terdorong dengan keinginan mahu mencari kepuasan hati berbanding keuntungan dalam menjayakan sesebuah watak, sejak awal tahun lalu, Sam meletakkan cabaran buat dirinya untuk menerima tawaran terbaik agar hasil karya yang dilakonkan seiring dengan bakat yang dicurahkan.

Bagi pelakon yang cukup popular dengan siri Adnan Sempit itu, dia baru menyedari andai terus meletakkan wang ringgit sebagai fokus utama, terma mengumpul duit tidak akan pernah cukup.

“Sebelum ini, ada antara filem yang saya tidak berkenan dari segi skrip tetapi saya ambil juga kerana mahukan bayaran. Namun, rasanya sudah cukup setakat itu saya mementingkan wang.

“Tiba masanya untuk saya menghargai kerjaya sebagai anak seni, mencari watak yang boleh mencabar bakat dan memberi satu kepuasan yang tidak saya temui sebelum ini,” katanya yang teringin untuk membawa watak dalam filem bibliografi kerana sudah muak dengan watak rekaan.

Farid tunggu anak, Sam pilih hartanah

Mengajak Farid dan Sam berbicara keluar daripada kotak dunia seni, ternyata kedua-duanya sudah menyusun agenda sendiri.

Sebagai pelakon dan juga sudah berjinak-jinak menjadi pengarah, Farid membayangkan masa depannya sebagai seorang penerbit dan mempunyai syarikat produksi sendiri.

Selain itu, Farid turut teruja untuk menerima orang baharu dalam keluarganya apabila isteri, Diana Danielle hamil lima bulan cahaya mata kedua mereka.

Meskipun tidak menghebahkannya secara terbuka, Farid menafikan dia dan Diana cuba untuk merahsiakan hal berkenaan daripada pengetahuan umum memandangkan itu satu berita gembira.

“Bukan kami mahu menutup kehamilan ini, cuma saya sekadar menghormati Diana yang mahu proses ini dijalani secara lebih privasi dan tidak terlalu menjadi tumpuan.

“Sebagai bapa, saya gembira dan tidak sabar menanti anak kedua kerana rezeki ini hadir tepat pada masanya selepas anak sulung, Muhammad sudah berusia dua tahun,” katanya yang bersyukur kerana setakat ini Diana tidak mengalami sebarang alahan teruk sepanjang kehamilannya.

Sementara itu bagi Sam, meskipun masih tidak mahu bercerita tentang hal pernikahan atau teman wanita, dia tetap memiliki impian peribadi yang mahu dilunaskannya.

Dalam jangka masa 10 tahun akan datang, Sam memberitahu, dia masih mahu kekal dalam industri hiburan, tidak kisah dalam aliran pelakon, pengarah atau penerbit kerana cintanya terhadap bidang seni cukup kuat.

Dia tidak mahu perjuangannya sebagai anak seni terhenti selepas apa yang diimpikan tercapai dan tetap ingin menyumbang kudrat serta bakat selagi terdaya.

Namun, sebagai pelan sokongan, Sam mula berjinak-jinak dalam bidang hartanah. Dia sudah melabur demi tabungan masa depan.

Tatkala ditanya mengapa memilih bidang hartanah berbanding perniagaan, Sam berkata, perniagaan mengambil masa serta komitmen untuk dikembangkan dan dia tidak mahu itu menjadi satu bebanan bagi karier lakonannya.

Berbanding bidang hartanah, dia melaburkan wang untuk sesebuah aset dan ia akan kekal di situ hingga nilainya meningkat, sekali gus memulangkan hasil lumayan.

“Barangkali kerana saya datang daripada keluarga industri seni lalu menjadikan darah yang mengalir bukan sekadar menjadi selebriti popular tetapi artis yang teguh jiwa seninya.

“Pelaburan saya dalam bidang hartanah pula sebagai dokongan andai ditakdirkan kerjaya seni tidak berjalan lancar. Sekurang-kurangnya saya masih ada tempat bergantung,” katanya yang mendapat idea pelaburan hartanah daripada sayrikat pengurusannya, MIG Productions.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here