Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bekerjasama dengan pihak OCPD Shah Alam dan Pesuruhjaya Perlawanan sudah menyerahkan laporan kepada FIFA, awal pagi tadi mengenai perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Arab Saudi di Stadium Shah Alam.

Timbalan Presiden FAM Datuk Sri Afandi Hamzah berkata FAM akan menunggu keputusan FIFA berhubung perkara itu dan akan mengumumkan keputusan berkenaan dengan sewajarnya.

“FAM memandang serius isu keselamatan stadium terutamanya mengenai isu keselamatan kesemua pihak termasuk penonton, pemain dan pegawai berada di stadium,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Aksi kelayakan Kumpulan A Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 yang berlangsung di Stadium Shah Alam membabitkan Malaysia menentang Arab Saudi malam tadi terpaksa dihentikan oleh pengadil pada minit ke-88.

Ia berikutan tindakan Ultras Malaya bertindak membaling suar, bom asap dan mercun ke dalam padang sehingga memaksa perlawanan dihentikan dan situasi berterusan selama beberapa minit.

Malaysia ketika itu ketinggalan 1-2 kepada Arab Saudi.

Skuad negara kendalian Datuk Ong Kim Swee melakukan enam pertukaran pemain berbanding kesebelasan utama tewas 0-10 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi minggu lalu.

Sumber: HarianMetro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here