Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sentiasa bertukar maklumat risikan dengan pasukan keselamatan Filipina bagi mengesan kemasukan kumpulan militan ke negara ini.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali, berkata ESSCOM juga mempertingkatkan risikan bagi mengesan saki-baki pengganas susulan penahanan tujuh lagi suspek militan Abu Sayyaf di ibu negara, minggu lalu.

Setakat ini juga, katanya, tiada kemasukan baharu kumpulan militan ke negara ini menerusi Sabah.

“Kita ada perisikan yang baik dan sentiasa mendapat kerjasama daripada pasukan keselamatan Filipina.

“ESSCOM juga bekerjasama penuh dengan Bukit Aman dan mendapat sokongan yang baik daripada agensi keselamatan lain termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam menangani isu keselamatan,” katanya ketika dihubungi BH di sini.

Pada 14 September lalu, tujuh lelaki warga Filipina dipercayai pengganas kumpulan Abu Sayyaf ditahan dalam operasi di sekitar Kuala Lumpur.

Semua mereka yang bekerja sebagai pengawal keselamatan beberapa syarikat swasta di Lembah Klang, berusia antara 22 tahun hingga 38 tahun ditahan oleh Bahagian Antipengganas, Cawangan Khas, Bukit Aman.

Mereka ditangkap susulan penahanan ke atas sel kumpulan itu pada 30 Ogos lalu.

Hazani berkata, pertahanan di sempadan perairan negeri ini juga dipertingkatkan bagi mengelak kemasukan pelarian dan kumpulan militan susulan kejayaan tentera Filipina menawan pusat kawalan pemberontak di Marawi, Filipina.

Katanya, kerjasama trilateral yang terjalin antara Malaysia, Filipina dan Indonesia menerusi rondaan bersama di sempadan perairan serta perkongsian maklumat memperkukuh kawalan di perairan daripada dibolosi anasir luar.- BH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here